AM

POLIS TOLAK PERMOHONAN PENGANJURAN HIMPUNAN DI ISTANA KEHAKIMAN

04/01/2025 04:34 PM

KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) -- Polis menolak permohonan penganjuran himpunan solidariti Datuk Seri Najib Razak yang dijadualkan berlangsung di Istana Kehakiman, Putrajaya, pada Isnin ini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Aidi Sham Mohamed berkata pihaknya telah menerima permohonan daripada penganjur himpunan tersebut pada Selasa lepas.

"Setelah disemak, didapati permohonan itu tidak lengkap dan pihak polis telah menolak kebenaran untuk tujuan penganjuran himpunan tersebut. Pemakluman mengenai penolakan permohonan telah disampaikan kepada pihak penganjur semalam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Aidi Sham berkata seramai 456 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan untuk membuat kawalan keselamatan di Istana Kehakiman dan kawasan sekitarnya pada hari berkenaan.

Untuk makluman, Mahkamah Rayuan telah menetapkan Isnin ini sebagai tarikh pendengaran rayuan bekas perdana menteri itu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Adendum.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan oleh Najib bagi mengemukakan keterangan tambahan berhubung Titah Adendum yang dikatakan dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu mengenai tahanan rumah.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan