AM

SKAS GUNA KAEDAH S PAY PASTIKAN PENERIMA BELANJA UNTUK KEPERLUAN ASAS - ABANG JOHARI

05/01/2025 02:39 PM

KUCHING, 5 Jan (Bernama) -- Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata penggunaan aplikasi e-dompet S Pay Global (S Pay) untuk menyalurkan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) bertujuan memastikan bantuan diberikan untuk keperluan asas sahaja, sekali gus mengelakkan penyalahgunaan bantuan berkenaan.

Beliau berkata pemberian bantuan dalam bentuk baucar atau wang tunai berpotensi disalahgunakan, dengan penerima mungkin menggunakan bantuan itu untuk perkara selain daripada keperluan asas.

"Kita telah menilai cara-cara pemberian baucar dan wang tunai. Jika diberikan secara tunai, duit itu berkemungkinan tidak sampai kepada barangan keperluan asas seperti beras.

"Baucar pula boleh ditukar kepada wang tunai di kedai, yang juga boleh disalahgunakan. Sebab itu, kita gunakan kaedah digital supaya sekurang-kurangnya penerima dapat membeli beras untuk keluarga mereka,” katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Servis Sarawak hari ini.

Abang Johari berkata penggunaan S Pay juga membantu kerajaan negeri mendapatkan data jumlah kasar pendapatan dan memantau perbelanjaan isi rumah rakyat Sarawak.

Beliau berkata kerajaan Sarawak akan menggerakkan jentera pentadbiran di seluruh negeri bagi membantu melaksanakan program SKAS, antaranya membabitkan Residen dan Pegawai Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan dan Pusat Servis Sarawak.

Dalam pembentangan Belanjawan Negeri 2025 pada Nov tahun lepas, Abang Johari mengumumkan SKAS dengan jumlah bantuan sekali bayar antara RM250 hingga RM800 setahun, bergantung kepada kategori kelayakan penerima iaitu bujang, isi rumah dan warga emas.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan berdasarkan senarai penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR), jumlah penerima SKAS yang layak adalah 886,288 orang, dengan nilai keseluruhan berjumlah RM464.5 juta. 

“Mereka yang tidak tersenarai dalam STR tetapi memenuhi kriteria kelayakan boleh mengemukakan permohonan mulai 1 Feb hingga 31 Mac ini.

“Rakyat Sarawak yang layak dan belum mendaftar dengan S Pay tidak perlu risau kerana pendaftaran dibuka sepanjang tahun,” katanya sambil menambah SKAS akan dilancarkan di Bahagian Serian pada 18 Feb ini.

Beliau berkata bantuan itu akan mula dimasukkan secara berperingkat ke dalam akaun S Pay penerima bermula bulan depan, dan pihaknya sedang berusaha memastikan proses penebusan lebih lancar dalam tempoh enam bulan ini. 

Setakat ini, sebanyak 27 peratus daripada jumlah rakyat Sarawak yang layak menerima bantuan itu telah menebus SKAS menerusi aplikasi S Pay.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan