SUKAN

VIETNAM JUARA PIALA ASEAN 2024

06/01/2025 12:36 AM

Daripada Kenny Teng Khoon Hock

BANGKOK, 5 Jan (Bernama) -- Vietnam muncul juara Piala ASEAN 2024 apabila menundukkan Thailand dengan agregat 5-3 selepas aksi final kedua yang berlangsung di Stadium Rajamangala, di sini malam ini.

Kemenangan itu merupakan kejuaraan ketiga Vietnam selepas melakukannya pada 2008 dan 2018.

Skuad Gajah Perang bermula garang dengan tekad untuk menebus kekalahan 1-2 pada perlawanan akhir pertama namun pasukan lawan terlebih dahulu mengejutkan penyokong tuan rumah dengan gol pada minit kelapan menerusi Pham Tuan Hai.

Tersentak dengan itu, Thailand menggandakan asakan dan mencipta beberapa peluang menerusi penyerang tengah mereka Suphanat Mueanta dan Benjamin James Davis.

Bagaimanapun Thailand terpaksa menunggu hingga minit ke-28 untuk menyamakan kedudukan selepas kesilapan pertahanan Vietnam melorongkan bola tepat kepada Davis yang tidak mensia-siakan peluang di depan mata untuk menewaskan penjaga gol Nguyen Dinh Trieu.

Ketika kedudukan terikat 1-1, penyerang prolifik Rafaelson Fernandes yang juga dikenali Nguyen Xuan Son terpaksa dibawa keluar kerana kecederaan di kaki, menamatkan aksinya pada minit ke-33.

Bersambung babak kedua, Supachok Sarachat meletakkan Thailand di hadapan pada minit ke-64 sebelum tuan rumah dihukum beraksi dengan 10 pemain apabila Weerathep Pomphan diperintahkan keluar padang selepas mengutip kad kuning kedua pada minit ke-74.

Vietnam memanfaatkan sebaiknya kelebihan pemain untuk mencipta beberapa peluang yang akhirnya mendapatkan jaringan hasil kesilapan pemain pertahanan tuan rumah Pansa Hemviboon yang tertampan bola ke dalam gawang sendiri pada minit ke-82.

Nguyen Hai Long menokhtahkan kebangkitan Thailand apabila meledak gol ketiga pada masa tambahan, sekali gus mengesahkan kemenangan skuad Naga Emas dengan agregat 5-3.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan