BEIJING, 6 Jan (Bernama-CMG) -- Pelan kerjasama komprehensif Iran-China membuka prospek meluas untuk kerjasama kedua-dua negara dalam pelbagai bidang, kata Menteri Luar Iran Seyyed Abbas Araghchi.
Menurut beliau, lingkungan kerjasama bilateral antara Iran dan China adalah luas dengan melibatkan pelbagai bidang, termasuk ekonomi, perdagangan, pelaburan, kebudayaan, keselamatan, belia, pendidikan, pelancongan dan sebagainya.
Araghchi telah mengadakan rundingan dengan Menteri Luar China Wang Yi sempena lawatan dua hari ke China pada 27 Disember lepas.
Dalam rundingan itu, kedua-dua pihak setuju bahawa Asia Barat bukan medan persaingan kuasa besar.
Araghchi berkata pendirian itu juga selaras dengan dasar Iran.
"Adalah amat mengecewakan bahawa Asia Barat sentiasa menderita akibat campur tangan negara asing.
"Mungkin boleh dikatakan semua masalah dan krisis di rantau itu dicetuskan akibat campur tangan kuasa asing," kata beliau dalam temu bual bersama Kumpulan Media China (CMG).
Araghchi berkata kehadiran kuasa asing di Asia Barat adalah untuk kepentingan sendiri. Mereka sering mencetuskan ketegangan dan krisis demi mengekalkan pengaruh sendiri di rantau berkenaan.
"Selain konflik, ketegangan, percanggahan dan peperangan, mereka tidak menyumbang apa-apa yang bermanfaat kepada Asia Barat," katanya.
Menyentuh peranan yang boleh dimainkan China untuk mendorong proses damai Asia Barat, Araghchi berkata China menjalin hubungan ekonomi dan perdagangan yang meluas dengan semua negara di rantau itu.
"China merupakan sebuah negara yang dihormati dan dapat dipercayai.
"Dengan reputasi ini, China boleh memainkan peranan secara politik di rantau Asia Barat sehingga membantu negara terlibat menangani percanggahan pendapat dan mencari kaedah penyelesaian secara damai," kata beliau.
--BERNAMA-CMG