AM

ANGGOTA JPJ BAKAL GUNA KAMERA BADAN, TINGKAT KETELUSAN PENGUATKUASAAN - LOKE

06/01/2025 02:11 PM

PUTRAJAYA, 6 Jan (Bernama) -- Penggunaan kamera badan untuk anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan diperkenalkan bagi meningkatkan ketelusan penguatkuasaan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Dalam sidang media selepas majlis amanat tahun baharu 2025 Kementerian Pengangkutan di sini hari ini, beliau berkata penggunaan kamera badan bagi anggota JPJ di lapangan akan meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan khususnya melibatkan kenderaan berat.

Beliau berkata Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli sebelum ini meminta supaya anggota jabatan itu dilengkapkan dengan penggunaan kamera badan supaya imej, keselamatan dan integriti setiap anggota bertugas berada pada tahap tertinggi.

“ … (pemakaian) kamera badan ini bukan sahaja untuk memastikan imej dan integriti JPJ dijaga, tetapi juga dapat melindungi anggota JPJ.

“Seperti yang saya katakan, kadangkala anggota-anggota (JPJ) kita juga dicemuh, dihina, dituduh macam-macam. Jadi, dengan adanya kamera badan ini, anggota JPJ dilindungi kerana apa sahaja bukti semasa mereka menguasakan undang-undang dapat dirakam,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Datuk Jazmanie Shafawi dilaporkan berkata penggunaan kamera badan bagi anggota penguat kuasa JPJ sangat diperlukan untuk meningkatkan integriti dalam kalangan anggota bertugas dan orang awam.

Beliau berkata penggunaan kamera itu diyakini dapat meningkatkan integriti pasukan berkenaan selain mengelakkan salah tafsir yang sering berlaku dalam kalangan anggota penguat kuasa semasa bertugas.

Loke berkata beliau telah meminta pengurusan Kementerian Pengangkutan berunding dan berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk melaksanakan perolehan kamera badan itu. 

“(Rundingan dibuat) supaya dapat peruntukan segera untuk kita peroleh kamera badan ini dan saya harap anggota-anggota JPJ akan dilengkapi dengan kamera berkenaan pada tahun ini juga,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan