JENAYAH & MAHKAMAH

LELAKI TERJUN SUNGAI, LARI DARIPADA POLIS DITEMUKAN LEMAS

06/01/2025 04:14 PM

JERTIH, 6 Jan (Bernama) -- Seorang lelaki yang terjun ke sungai dekat Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Seberang Kastam di sini malam tadi kerana cuba melarikan diri daripada serbuan polis, ditemukan lemas pagi ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut DSP Md Sani Md Saleh berkata mayat lelaki berusia 45 tahun itu ditemukan pada 10.25 pagi tidak jauh dari lokasi kali terakhir dia dilihat.

“Lelaki itu yang berada di atas sebuah bot nelayan di tepi jeti bertindak terjun ke sungai sebaik menyedari kehadiran anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Besut yang melakukan operasi di kawasan itu kira-kira 7.45 malam.

“Orang awam yang berada di kawasan itu cuba memberi bantuan, namun gagal lalu operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan pada 8.30 malam.

“SAR kemudian disambung pagi tadi dan mayat berkenaan dijumpai di dasar sungai oleh anggota skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati lelaki itu memiliki 10 rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut untuk bedah siasat.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan