AM

SELANGOR SYOR SARINGAN AIR KENCING DIJADIKAN SOP SEBELUM MEMASUKI KONSERT

06/01/2025 05:22 PM

BANTING, 6 Jan (Bernama) -- Kerajaan Selangor akan mengesyorkan ujian air kencing dijadikan sebagai antara prosedur operasi standard (SOP) kepada pengunjung dalam usaha mengelakkan sebarang penglibatan dan pengambilan dadah ketika penganjuran konsert di negeri itu.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Datuk Ng Suee Lim berkata syor tersebut, merupakan antara perkara yang bakal dibincangkan dan diperincikan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Rabu (8 Jan) ini.

Beliau berkata ia antara lain bagi melihat kembali kekurangan dan penambahbaikan yang boleh dilakukan dalam SOP penganjuran sesuatu konsert, termasuk perlu menyediakan kelengkapan mesin pengimbas dan dilaksanakan agar sebarang bahan terlarang dapat dikesan daripada dibawa masuk oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Kita mahu perketatkan SOP dan tengok kerjasama yang boleh dilakukan dengan polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana apabila lesen atau permit diberikan, kita mahu pastikan penganjur betul-betul periksa (terutama berkaitan dadah ini).

“Jadi, selepas ini mungkin kena buat atau pemeriksaan urin sebagai antara SOP terhadap pengunjung dan syor ini antara yang akan dibawa dalam mesyuarat MMKN, supaya orang yang menyalahgunakan dadah atau penagih dadah tidak benarkan masuk ke mana-mana konsert,” katanya selepas merasmikan Bengkel Sesi Libat Urus Penyelarasan dan Penyeragaman Amalan Terbaik Pihak Berkuasa Tempatan di sini hari ini.

Ng mengulas pertanyaan media berhubung usaha kerajaan negeri menyemak semula garis panduan pelaksanaan konsert di Selangor bagi mengelakkan kejadian kematian berkaitan penyalahgunaan dadah berulang.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi sebelum ini dilaporkan berkata pihaknya memandang serius kejadian itu dan perbincangan akan diadakan bersama Ng bagi tujuan tersebut.

Berhubung sama ada penangguhan pemberian permit konsert menganggu kempen Tahun Melawat Selangor 2025, Ng berkata ia sememangnya memberikan implikasi dan kesan kepada penganjur yang telah melaburkan wang bagi persiapan penganjuran konsert.

Beliau berkata ketika ini beliau tidak mempunyai jumlah penganjuran yang terpaksa ditangguhkan namun dalam maklumannya, terdapat satu konsert yang sepatutnya diadakan di Bandar Sunway minggu depan dan telah dipindahkan ke Kuala Lumpur.

Pada Jumaat lepas, polis Selangor mengumumkan penangguhan sementara kebenaran permit untuk penganjuran konsert di negeri itu, sehingga siasatan kes kematian empat individu yang meninggal dunia selepas menghadiri Konsert Pinkfish di Bandar Sunway, Subang Jaya selesai dijalankan.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata arahan serta-merta itu berkuat kuasa sehingga pihaknya yakin penganjur dapat memberikan jaminan mereka boleh mengawal perjalanan konsert terutamanya menghalang elemen jenayah, seperti pengedaran dadah di konsert terbabit.

Sebelum ini, media melaporkan polis sedang menyiasat punca kematian empat individu berusia lingkungan 20 hingga 40-an termasuk dua wanita selepas menghadiri konsert ambang tahun baharu itu setelah laporan polis berkaitan kematian mereka dibuat oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan