SEOUL, 6 Jan (Bernama-Yonhap) -- Agensi antirasuah Korea Selatan meminta polis mengambil alih pelaksanaan waran untuk menahan Presiden Yoon Suk Yeol yang menghadapi proses pendakwaan selepas pelaksanaan undang-undang tenteranya yang gagal.
Menurut Agensi Berita Yonhap, Pejabat Penyiasatan Rasuah untuk Pegawai Tinggi (CIO) membuat permintaan itu dalam surat rasmi yang dihantar lewat Ahad, dengan tinggal sehari sahaja lagi sebelum tamat tempoh waran.
“CIO menghantar surat rasmi kepada kami meminta kerjasama tanpa perbincangan awal,” menurut seorang pegawai polis kepada Agensi Berita Yonhap. “Kami kini sedang menjalankan semakan undang-undang secara dalaman.”
CIO menghentikan pelaksanaan waran itu Jumaat lalu selepas berlaku pertembungan selama sejam dengan anggota keselamatan presiden di kediamannya.
Agensi itu bekerjasama dengan polis dan unit siasatan Kementerian Pertahanan untuk menjalankan siasatan bersama terhadap pengisytiharan undang-undang tentera Yoon pada 3 Dis lepas yang hanya bertahan seketika.
Dengan waran yang bakal tamat pada tengah malam, CIO dijangka membuat percubaan kedua untuk menahan Yoon atau meminta lanjutan tempoh waran tersebut, sebagai pilihan yang ada.
Sumber berkata surat CIO itu menyebabkan ketidakpuasan dalam kalangan polis yang mendakwa agensi itu cuba mengalihkan tanggungjawabnya selepas melaksanakan waran secara pasif pada Jumaat lepas.
Pasukan guaman Yoon menolak waran itu sebagai tidak sah dan tidak berperlembagaan, sambil menegaskan CIO secara teknikal tidak diberi kuasa untuk menyiasat tuduhan pemberontakan yang dihadapi Yoon berhubung perintah undang-undang tentera yang dikeluarkannya.
-- BERNAMA-YONHAP