PUTRAJAYA, 6 Jan (Bernama) -- Dua bekas ahli lembaga pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan kekal sebagai pihak ketiga dalam saman US$6.59 bilion 1MDB yang difailkan terhadap bekas pengerusi 1MDB Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy.
Ia susulan keputusan panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan hari ini yang menolak permohonan kebenaran merayu oleh bekas ahli lembaga pengarah berkenaan, Datuk Kamal Mohd Ali dan Datuk Seri Norazman Ayob.
Kedua-dua mereka telah memohon kebenaran untuk merayu keputusan mahkamah rayuan yang telah mengarahkan supaya mereka dimasukkan sebagai pihak ketiga dalam saman 1MDB.
Panel Mahkamah Persekutuan berkenaan dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abdul Rahman Sebli, serta hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.
Hakim Abdul Rahman drmasa menyampaikan keputusan mahkamah berkata adalah kes itu tidak wajar dan sesuai bagi mahkamah menggunakan budi bicaranya untuk memberikan kebenaran mengikut Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964. Beliau turut memerintahkan kedua-duanya membayar kos RM30,000.
Pada 6 Nov lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Mohd Irwan untuk memasukkan tiga individu termasuk Kamal dan Norazman sebagai pihak ketiga dalam saman itu. Ia membuatkan Kamal dan Norazman memohon kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan.
Sementara itu bekas ketua pegawai kewangan 1MDB Azmi Tahir turut dinamakan sebagai pihak ketiga dalam saman 1MDB, tetapi dia tidak memohon kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan. Ini bermakna dia akan kekal sebagai pihak ketiga dalam saman itu.
Pada 30 Mei tahun lepas, Mohd Irwan memfailkan permohonan ex-parte terhadap enam individu, memohon ganti rugi atau sumbangan sekiranya dia didapati bertanggungjawab terhadap tuntutan mahkamah yang difailkan oleh 1MDB terhadapnya dan Arul Kanda.
Pada 6 Sept lepas Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan membenarkan permohonan enam individu termasuk Kamal, Norazman Ayob dan Azmi Tahir, untuk membatalkan notis pihak ketiga yang difailkan Mohd Irwan.
Tiga individu lain ialah bekas pengerusi Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin; bekas pengerusi Datuk Seri Asri Hamidin @ Hamidon; dan pengerusi semasa Datuk Seri Johan Mahmood Merican. Di Mahkamah Rayuan, Mohd Irwan tidak meneruskan rayuannya terhadap tiga individu lain.
Pada Mei 2021 1MDB memfailkan saman terhadap Mohd Irwan dan Arul Kanda, menuduh mereka pecah amanah dan konspirasi yang mengakibatkan kerugian US$1.83 bilion berkaitan pelaburan syarikat dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd, yang kemudiannya ditukar menjadi pelaburan Brazen Sky Limited, yang dikatakan boleh diperoleh semula daripada Dana Global Bridge.
1MDB juga mendakwa kedua-dua defendan melakukan pecah amanah dan konspirasi dengan menyalah guna dana syarikat bernilai US$3.5 bilion yang dibayar kepada Aabar Investments dan US$1.265 bilion yang dibayar kepada Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa pada 9 Mei 2017.
1MDB mendakwa Mohd Irwan bersubahat dengan Arul Kanda untuk melaksanakan satu lanjutan perjanjian pekerjaan, membayar sejumlah RM2,905,200 kepada Arul Kanda, tanpa mengambil kira kepentingan 1MDB, yang mengakibatkan kerugian dan kerosakan kepada syarikat itu.
Akibatnya 1MDB menuntut ganti rugi US$6.59 bilion daripada kedua-dua defendan untuk pelanggaran ini, dan tambahan RM2.9 juta daripada Mohd Irwan berkaitan pelanjutan perjanjian pekerjaan.
Dalam prosiding hari ini di Mahkamah Persekutuan, peguam Lavinia Kumaraendran dan Mavin Thillainathan mewakili Mohd Irwan manakala peguam Razlan Hadri Zulkifli mewakili Kamal dan Norazman.
Lavinia memberitahu media bahawa perbicaraan di Mahkamah Tinggi akan disambung semula pada 13 Jan dengan Arul Kanda dijangka memberi keterangan.
-- BERNAMA