SUKAN

ZAIDATUL HUSNIAH PERLU TUNGGU PENGESAHAN WA - BALLARD

06/01/2025 07:17 PM

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Ratu pecut negara Zaidatul Husniah Zulkifli mungkin terpaksa menunggu lebih lama dari yang dijangkakan untuk mendapatkan pengiktirafan bagi rekod 100 meter kebangsaan diciptanya daripada Olahraga Dunia (WA). 

Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Robert Ballard, yang sebelum ini memberi jaminan kepada Zaidatul Husniah bahawa perkara berkenaan akan diselesaikan menjelang Ahad, kini berharap WA akan mengemas kini maklumat yang dihantar oleh badan induk olahraga negara itu secepat mungkin selepas cuti panjang sempena perayaan.

 “WA kembali beroperasi hari ini selepas cuti selama 10 hari. Saya boleh andaikan mereka (WA) akan menerima banyak permintaan daripada seluruh dunia. Saya yakin mereka akan mengemas kini maklumat yang diberikan kepada mereka secepat mungkin,” katanya kepada Bernama.  

Berdasarkan laporan media, catatan masa 11.49 saat (s) oleh atlet berusia 31 tahun itu, yang dicatatkan pada Kejohanan Olahraga Terbuka Perlis Oktober lepas, masih belum diiktiraf oleh WA kerana belum menerima dokumen berkaitan bacaan angin.

Catatan terbabit sekali gus memadam rekod 100m wanita kebangsaan milik G.Shanti iaitu 11.50s, yang dilakukan di Kuala Lumpur pada 7 Mei 1993, hanya beberapa bulan sebelum Zaidatul Husniah dilahirkan pada 20 Ogos.

Zaidatul Husniah atau lebih mesra dipanggil ‘Adeq’ pada Sabtu dilaporkan berkata Ballard memberi jaminan perkara itu akan diselesaikan dalam tempoh 48 jam sejak Jumaat.

Beliau tetap berharap agar rekod 11.49s itu diiktiraf lebih-lebih lagi selepas catatan 11.36s yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga AGN League di Pretoria, Afrika Selatan pada 2017 tidak diiktiraf oleh juri pertandingan kerana mendapat bantuan angin.

 Sementara itu, Ballard berkata KOM telah mengiktiraf catatan 51.11s dicipta Muhammad Fakrul Afizul Nasir pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Kuching, Sarawak sebagai rekod kebangsaan 400 meter lari berpagar, walaupun keputusan itu belum diterbitkan menerusi laman web WA.

“Kejohanan yang dilaporkan oleh sesebuah negara hanya kejohanan dengan permit WA, manakala SUKMA bukan kejohanan yang mempunyai permit WA. Sebagai contoh, rekod Fakrul Afizul di SUKMA tidak didaftarkan dengan WA dan tidak boleh dikira untuk mata kedudukan dunia atau kelayakan bagi acara WA seperti Kejohanan Dunia, Sukan Olimpik, atau Kejohanan Dunia Bawah-20."

“Bagaimanapun, KOM mengiktiraf prestasi itu sebagai rekod kebangsaan kerana olahraga SUKMA dijalankan dengan pengesahan KOM. Sehubungan itu, jika anda melayari laman web WA, prestasi Fakrul di SUKMA tidak dipaparkan,” katanya.

Beliau berkata buat kali pertama Malaysia telah menganjurkan tujuh kejohanan dengan permit WA tahun lepas, termasuk Terbuka Malaysia dan acara Super Series di Johor, Perak, Pahang, Terengganu, Perlis dan Sarawak.

Ballard berkata KOM juga masih menantikan bacaan angin untuk semua acara yang diperlukan dari final  Sarawak Super Series yang berlangsung pada 16 hingga 17 Nov lepas.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan