Oleh Zarul Effendi Razali
KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Ringgit meneruskan trend penyusutan untuk ditutup rendah berbanding dolar AS pada Isnin berikutan ekonomi Amerika Syarikat (AS) menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang seterusnya hingga mendorong permintaan untuk dolar AS.
Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.5090/5135 berbanding dolar Amerika daripada 4.4975/5030 pada penutup Jumaat.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit terus menyusut berbanding dolar AS memandangkan ekonomi AS terus menunjukkan peningkatan, mengukuhkan lagi prospek kadar faedah AS yang agresif tahun ini.
“Laporan terkini Indeks ISM AS untuk sektor pembuatan meningkat kepada 49.3 mata pada Disember, menandakan peningkatan pada bulan kedua berturut-turut.
“Ekonomi AS yang kukuh bermakna Rizab Persekutuan (Fed) akan mempunyai sedikit insentif untuk melonggarkan lagi dasar monetarinya, terutamanya apabila terdapat risiko inflasi yang lebih tinggi disebabkan pelarasan dasar oleh pentadbiran AS yang akan datang,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata ringgit terpaksa berhadapan dengan keadaan yang lebih lemah sehingga lebih banyak kejelasan muncul apabila Donald Trump memulakan penggal kedua beliau sebagai Presiden AS.
Ringgit juga ditutup kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain.
Ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.8583/8614 daripada 2.8606/8643 ketika ditutup pada Jumaat tetapi lemah berbanding pound Britain kepada 5.6250/6306 daripada 5.5800/5869 dan jatuh berbanding euro kepada 4.6695/6742 daripada 4.6288/6345.
Mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang di negara-negara ASEAN.
Ia meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.0194/0308 daripada 13.0540/0753 pada penutup sebelumnya tetapi rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 278.3/278.7 berbanding 277.6/278.1 sebelumnya.
Ringgit turun berbanding dolar Singapura kepada 3.2989/3025 daripada 3.2828/2871 dan hampir mendatar berbanding peso Filipina kepada 7.73/7.75 daripada 7.73/7.74 pada Jumaat.
-- BERNAMA