AM

UTEM PERKENAL LIMA PRODUK INOVASI BANTU PELBAGAI SEKTOR

07/01/2025 03:24 PM

MELAKA, 7 Jan (Bernama) -- Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah memperkenalkan lima produk inovasi bertaraf dunia dan berimpak tinggi yang dihasilkan kumpulan penyelidik berkaliber universiti berkenaan.

Produk inovasi itu ialah Kincir Air UTeM, UTeM Off-Road Vehicles (E-ORV), Dron Smart AI Surveillance Security System, Energy Management Response System dan Sistem Amaran Kebakaran Api Pintar (Siakap).

Naib Canselornya Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata kesemua produk inovasi berkenaan dihasilkan bagi memberi manfaat kepada masyarakat dan mampu menyumbang dalam pelbagai industri utama di negara ini.

"Kincir Air UTeM berupaya menghasilkan tenaga elektrik dari tasik UTeM dan ia dibangunkan menggunakan teknologi pembuatan terkini yang memfokuskan pada penukaran kuantiti air yang kecil kepada tenaga elektrik. 

“UTeM E-ORV pula ialah kenderaan traktor berkuasa elektrik yang boleh digunakan dalam sektor pertanian dan perladangan secara meluas dan ia boleh menjalankan fungsi sebagai jentera pelbagai guna seperti membajak, mengangkut hasil pertanian, membaja, meracun dan menuai hasil perladangan seperti tanaman kelapa sawit," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata UTeM E-ORV juga dilengkapi dengan sistem teknologi Internet Kebendaan (IoT) yang mampu meningkatkan keupayaan kenderaan itu tanpa pemandu manakala Dron Smart AI Surveillance Security System, dibangunkan dengan kelengkapan sistem kepintaran buatan bagi kegunaan pertanian untuk mengawasi aspek keselamatan dalam kawasan yang berskala luas. 

Katanya Energy Management Response System merupakan sistem paparan pintar yang dilengkapi dengan AI untuk memantau serta mengenal pasti penggunaan eletrik Kampus UTeM manakala Siakap, adalah sistem amaran kebakaran dilengkapi sistem penderia Internet of Things (IoT) dan AI untuk memantau dan mencegah kebarakan dalam kawasan berisiko tinggi.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan