DUNIA

RINGGIT MELANTUN SEMULA DITUTUP TINGGI BERBANDING DOLAR AS

07/01/2025 07:29 PM

Oleh Zarul Effendi Razali

KUALA LUMPUR, 7 Jan (Bernama) --  Ringgit melantun semula daripada penurunannya baru-baru ini untuk ditutup tinggi hari ini berbanding dolar AS.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.4850/4900 berbanding dolar AS daripada paras 4.5090/5135 pada Isnin.

Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata dari segi teknikal, ringgit berada di kedudukan terlebih jual yang mungkin menarik minat peniaga untuk membeli mata wang tempatan itu. 

“Juga, Indeks Dolar AS (DXY) terus menyusut di bawah 108 mata dan ketika ini berlegar sekitar 107.905 mata.

“Namun sentimen pasaran masih berhati-hati sementara menunggu pengumuman dasar ekonomi oleh presiden Amerika Syarikat (AS) yang baharu, Donald Trump, terutamanya berkaitan tarif import oleh AS dan bagaimana ini akan diterjemahkan kepada inflasi dan reaksi Rizab Persekutuan AS terhadapnya,” katanya kepada Bernama.  

Bagaimanapun ringgit ditutup kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.8458/8492 daripada paras penutup 2.8583/8614 pada Isnin tetapi turun berbanding pound Britain kepada 5.6341/6403 daripada 5.6250/6306 dan susut berbanding euro kepada 4.6756/6808 daripada 4.6695/6742.

Ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain. 

Unit tempatan meningkat berbanding baht Thai kepada 13.0045/0258 daripada 13.0194/0308 sebelumnya dan naik berbanding Rupiah Indonesia kepada 277.7/278.2 daripada 278.3/278.7, menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.2983/3022 daripada 3.2989/3025 dan menambah berbanding peso Filipina kepada 7.71/7.72 daripada 7.73/7.75 pada Isnin.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan