JENAYAH & MAHKAMAH

KPDN PERAK RAMPAS SABUN TIRUAN BERNILAI LEBIH RM7,000

08/01/2025 10:23 AM

IPOH, 8 Jan (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas produk pencuci pakaian berjenama disyaki tiruan dalam dua serbuan berasingan di Seri Iskandar dan Taiping, semalam.

Pengarahnya Datuk Kamalludin Ismail berkata dalam serbuan tersebut pihaknya merampas 393 unit pencuci pakaian berjenama tiruan dipercayai menggunakan cap dagangan berjenama yang dipakaikan dengan salah pada barangan berkenaan.

"Wakil syarikat cap dagang telah melakukan pengesahan awal terhadap semua sabun pencuci terbabit dan dipercayai premis telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019. 

"Kesemua barangan dan dokumen berkaitan telah disita untuk siasatan lanjut serta nilai rampasan bagi dua premis yang kita serbu dianggarkan berjumlah RM7,124.27,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya komited melindungi hak pemilik cap dagang dengan mengadakan pemantauan dan risikan berterusan terhadap premis yang menjual barangan berjenama bagi membanteras penjualan barang tiruan, seterusnya dapat meningkatkan keyakinan pelabur asing terutamanya di Perak. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan