AM

MELAKA CATAT NILAI PELABURAN RM5 BILION HINGGA SEPTEMBER LEPAS

08/01/2025 12:58 PM

MELAKA, 8 Jan (Bernama) -- Melaka mencatatkan nilai pelaburan memberangsangkan iaitu sebanyak RM5 bilion hingga September lepas, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata jumlah itu meliputi RM0.8 bilion menerusi pelaburan asing dan RM4.2 bilion daripada pelaburan domestik. 

"Pencapaian ini, adalah satu kejayaan yang patut dibanggakan kerana secara tidak langsung mempamerkan keyakinan pelabur asing terhadap potensi ekonomi dan pembangunan negeri ini. 

"Ia juga merupakan satu langkah positif yang dapat memberi inspirasi kepada pihak berkepentingan untuk terus berusaha dan memperkukuh kerjasama dalam mencapai kemajuan lebih besar untuk Melaka," katanya di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Makan Malam Gala Kumpulan MCORP yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azhar Arshad dan Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar.

Ab Rauf berkata pelbagai usaha perlu terus diperkasa bagi menarik minat pelabur terutamanya melibatkan sektor pelancongan, memandangkan pada September tahun ini Melaka akan terus menjadi tumpuan dunia menerusi sambutan Hari Pelancongan Sedunia dan Persidangan Pelancongan Sedunia 2025.

"Untuk itu, saya juga menyarankan agar MCORP terus optimis mempergiat promosi pelaburan sekali gus mewujudkan iklim pelaburan yang kondusif bagi menarik lebih banyak pelabur masuk ke negeri ini," katanya.

Beliau berkata setakat November lepas, lapan anak syarikat MCORP telah mencatatkan nilai keuntungan sebanyak RM7.7 juta dengan kenaikan RM4.3 juta berbanding tempoh sama pada 2023.

"Ia diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak kejayaan dicapai sekali gus membuktikan keupayaan MCORP dan kumpulannya berpotensi menerajui pembangunan Melaka dengan lebih dinamik dan lestari," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan