KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives meneruskan aliran peningkatan apabila ditutup lebih tinggi pada dagangan Rabu.
Perkembangan itu dicatatkan ketika peniaga menunggu pengumuman data pekerjaan penting Amerika Syarikat (AS) lewat minggu ini yang dijangka mempengaruhi trajektori penetapan kadar faedah utama Rizab Persekutuan AS (Fed).
Kontrak bulan semasa Januari 2025 meningkat kepada US$2,666.90 setiap auns troy daripada US$2,655.10 pada Selasa manakala kontrak Februari 2025 menokok kepada US$2,678.00 daripada US$2,666.20, semalam.
Selain itu, kontrak Mac 2025, April 2025 dan Jun 2025 juga masing-masing ditutup tinggi pada US$2,686.90 setiap auns troy daripada US$2,675.00 sebelum ini.
Jumlah dagangan susut kepada tiga lot daripada 25 lot pada Selasa manakala kepentingan terbuka tidak berubah pada 14 kontrak.
Mengikut penetapan London Bullion Market Association pada 7 Jan, harga emas fizikal berada pada US$2,650.85 setiap auns troy.
-- BERNAMA