EKONOMI

GDA PEROLEH 84.1 PERATUS SAHAM MAHB SETAKAT 8 JAN 2025

09/01/2025 09:57 AM

KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Gateway Development Alliance Sdn Bhd (GDA) dan pemegang sahamnya (secara kolektif, Konsortium) telah menerima penerimaan tawaran sah sebanyak 1.40 bilion saham mewakili 84.1 peratus daripada jumlah saham terbitan dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat itu dibuat melalui GDA dan pemberi tawaran bersama ialah Gateway Development Alliance Sdn Bhd, Pantai Panorama Sdn Bhd (PPSB), Kwasa Aktif Sdn Bhd (KASB) dan GIP Aurea Pte Ltd (GIP Aurea), kata Konsortium itu menerusi makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Mengikut pecahan, jumlah Saham MAHB yang dipegang oleh pemberi tawaran bersama dan pemberi tawaran muktamad bersama berjumlah 1.39 bilion manakala saham MAHB dipindahkan kepada pemberi tawaran bersama tetapi menunggu penerimaan dokumen penerimaan (yang tertakluk kepada pengesahan) berjumlah 18.18 juta.

GDA menerusi satu kenyataan bersama hari ini berkata tahap penerimaan yang menggalakkan menjelang tarikh tutup pertama, walaupun dalam tempoh cuti selang, menyaksikan Konsortium semakin memenuhi syarat penerimaan 90 peratus dan ambang yang diperlukan untuk menyahsenarai MAHB, mengikut tawaran itu.

“Jumlah penerimaan menggalakkan yang diterima setakat kini sebanyak 84.1 peratus menyaksikan Konsortium semakin menghampiri ambang penerimaan 90 peratus yang diperlukan untuk memuktamadkan penstrukturan semula ​​MAHB,” kata GDA.

Konsortium itu juga berkata bagi pemegang saham yang masih belum menyerahkan penerimaan mereka, tempoh tawaran dilanjutkan kepada 17 Jan 2025 bermula hari ini dengan harga tawaran dikekalkan pada RM11 sesaham.

“GDA mengekalkan harga tawarannya pada RM11.00 sesaham, menganggapnya sangat menarik kerana ia menilai MAHB di atas harga saham sejarahnya dan gandaan dagangannya, dan merupakan premium 49.5 peratus berbanding harga saham penutup MAHB bagi Tahun Kewangan 2023 dan lebih tinggi daripada mana-mana harga yang pernah didagangkan oleh MAHB,” katanya.

Tawaran RM11.00 itu adalah lebih tinggi daripada mana-mana harga yang pernah didagangkan oleh MAHB dan mewakili 49.5 peratus premium setakat ini dan menunjukkan nisbah harga kepada pendapatan sebanyak 37.7x.

Tawaran penstrukturan semula itu, yang pertama kali diumumkan pada Mei 2024 dan dilancarkan secara rasmi pada 15 Nov 2024, adalah langkah strategik untuk memastikan MAHB mencapai pertumbuhan yang mampan dan berkekalan.

“Konsortium mengulangi pandangannya bahawa kelemahan MAHB dalam menyenggara aset teras dan sistemnya, dan prestasi kurang memberangsangkan dari segi operasi dan kewangan yang berlarutan sekian lama, hanya akan dapat ditangani dengan baik sekiranya tidak dikekang oleh penyenaraian pasaran awam dan dapat mengambil pendekatan baharu,” katanya.

Menurutnya, dari segi pelaburan dalam tempoh lima tahun lepas MAHB membelanjakan hanya RM1.3 bilion berbanding Lapangan Terbang Changi sebanyak RM18.9 bilion, RM8.1 bilion oleh Angkasapura I dan II di Indonesia dan RM6.8 bilion oleh Lapangan Terbang Thailand.

Kurangnya pelaburan oleh MAHB ini telah mengakibatkan aset menjadi semakin usang yang menyebabkan berlakunya masalah kelewatan dan kegagalan operasi yang serius dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Lapangan terbang di bawah kendalian MAHB memerlukan perbelanjaan pemulihan yang besar serta modal baharu untuk membiayai pengembangan yang amat diperlukan.

Cabaran ini telah menyebabkan prestasi saham MAHB menjadi kurang memberangsangkan dengan permodalan pasarannya hanya meningkat 12 peratus dari 2014 hingga 2023, jauh ketinggalan berbanding purata lonjakan 217 peratus pengendali lapangan terbang lain di Asia Pasifik.

Selain itu, dividennya kekal empat kali lebih rendah berbanding purata KLCI, dengan tawaran RM11.00 sesaham berada pada 13 kali ganda dividen terkumpul yang dibayar sepanjang dekad yang lalu.

Mengenai harga tawaran itu, Konsortium berkata tawaran RM11 itu menunjukkan keperluan kritikal untuk pelaburan yang besar bagi menambahbaikkan lagi MAHB, mempersiapkannya untuk bersaing secara berkesan dengan lapangan terbang serantau.

“Konsortium komited untuk memastikan MAHB mencatatkan pertumbuhan mampan jangka panjang dengan memberi tumpuan kepada penyelenggaraan dan menambah baik infrastruktur lapangan terbang, meningkatkan tahap perkhidmatan penumpang dan menambah baik ketersambungan syarikat penerbangan,” katanya.

Konsortium itu juga menegaskan sebagai sebahagian daripada transformasi strategik, GDA akan memberi tumpuan kepada pemulihan strategik dan penambahbaikan untuk memastikan MAHB berdaya saing sambil memanfaatkan kecekapan tambahan menerusi infrastruktur sedia ada.

“Komponen utama strategi ini adalah untuk memastikan jumlah perbelanjaan modal yang optimum, dengan penekanan utama meningkatkan keselesaan dan pengalaman penumpang, serta menyokong rakan kongsi syarikat penerbangan,” katanya.

GDA berhasrat untuk menaik taraf dan memodenkan operasi MAHB, meningkatkan perkhidmatan penumpang, meningkatkan ketersambungan syarikat penerbangan dan merancakkan pertumbuhan trafik, katanya.

Konsortium berkata ia yakin transformasi MAHB dapat direalisasikan sebaiknya sebagai entiti swasta bagi memudahkan pendekatan strategik jangka panjang untuk membuat keputusan dan pelaburan modal.

-- BERNAMA

 


 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan