DUNIA

BURSA MALAYSIA DIBUKA TINGGI

09/01/2025 11:08 AM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Khamis bagaimanapun turun selepas itu disebabkan aktiviti pengambilan untung yang berterusan dalam saham wajaran tinggi terpilih kerana pelabur kekal berada di luar pasaran kerana kekurangan petunjuk baharu, kata peniaga.

Pada jam 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) jatuh 0.53 mata kepada 1,614.30 daripada 1,614.83 ketika ditutup pada Rabu selepas dibuka tinggi pada 1,618.17.  

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 233 berbanding 141 dengan 317 kaunter tidak berubah, 1,699 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 260.39 juta unit bernilai RM117.81 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup bercampur-campur dengan pergerakan turun naik, mencatatkan sedikit keuntungan dan kerugian.

Beliau berkata ia disebabkan oleh sikap berhati-hati pelabur menjelang laporan pekerjaan yang ditnanti-nantikan dan kebimbangan terhadap potensi risiko dasar.

"Dasar khusus, seperti pengusiran migran migran secara besar-besaran dan tarif, dilihat sebagai pencetus kepada perang perdagangan global yang mungkin akan berlaku dan tekanan inflasi," katanya kepada Bernama.

Thong berkata sentimen pasaran berhati-hati apabila pelabur bersedia untuk pelarasan dasar berikutan Donald Trump akan mengangkat sumpah sebagai presiden Amerika Syarikat pada 20 Januari depan.

“Berdasarkan faktor ini, Thong menjangkakan FBM KLCI akan didagangkan dalam jajajaran kecill antara 1,615 hingga 1,625. Julat ini mencerminkan keseimbangan antara sentimen berhati-hati dan peluang yang dibentangkan oleh pelarasan pasaran baru-baru ini,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank dan Maybank menambah empat sen masing-masing kepada RM4.49 and RM10.10, CIMB meningkat lima sen kepada RM8.14 dan PPB meokok lapan sen kepada RM12.42 bagaimanapun RHB Bank jatuh satu sen kepada RM6.42.

Bagi saham aktif, Velocity dan Vanzo merosot 0.5 sen masing-masing kepada 7.5 sen dan 18.5 sen manakala Jaks tidak berubah pada 13 sen, Swift Energy naik dua sen kepada 41.5 sen dan Kucingko melonjak satu sen kepada 31.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 7.22 mata kepada 12,423.11, Indeks FBM Emas Shariah merosot 35.58 mata kepada 12,391.45 dan Indeks FBMT 100 berkurangan 6.81 mata kepada 12,098.76.

Indeks FBM 70 merosot 20.87 mata kepada 18,741.28 dan Indeks FBM ACE jatuh 4.76 mata kepada 5,373.41

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 68.21 mata kepada 17,966.60, Indeks Perladangan meningkat 1.03 mata kepada 7,556.96 manakala Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan turun 0.62 mata kepada 172.72, Indeks Tenaga merosot 1.60 mata kepada 850.26.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan