MERSING, 9 Jan (Bernama) -- Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki, yang mayatnya ditemukan dengan kesan kecederaan pada leher di dalam but kereta, dalam semak bulan lepas.
Hasbullah Adam, 36, didakwa membunuh Shakirin Mohamad, 28, yang juga seorang pemandu lori, di tepi jalan kilometer 48, Jalan Jemaluang Kahang, antara pukul 6.10 pagi pada 26 Dis 2024 hingga 1.50 tengah hari pada 28 Dis 2024.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan dikenakan sebatan tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Majistret Nurkhalida Farhana Abu Bakar menetapkan 27 Feb untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Foo Fang Leong manakala tertuduh diwakili peguam Azlan Bohari.
-- BERNAMA