DUNIA

AWG HARBIN TAWAR 64 PINGAT EMAS

09/01/2025 02:01 PM

BEIJING, 9 Jan (Bernama-CMG) -- Sukan Musim Sejuk Asia (AWG) edisi ke-9 dijadual berlangsung bermula 7 hingga 14 Feb di Harbin, ibu kota provinsi Heilongjiang, timur laut China.

Ini merupakan kali kedua Harbin menjadi tuan rumah AWG selepas 1996.

Sebanyak 64 pingat emas menjadi rebutan pada AWG 2025 menerusi enam jenis sukan antaranya biathlon, kurling dan hoki ais.

China, Jepun dan Korea Selatan mengambil bahagian dalam semua acara, manakala Kemboja dan Arab Saudi buat julung kalinya menghantar atlet mereka untuk bertanding dalam temasya berprestij itu.

Lebih menarik lagi, AWG 2025 bakal menyaksikan penyertaan 16 negara dan wilayah dalam acara kurling, membaharui rekod dalam sejarah sukan musim sejuk berskala terbesar Asia itu.

Acara ski alpine pula menggamit penyertaan 25 negara dan wilayah antaranya Malaysia, Singapura dan Thailand.

-- BERNAMA-CMG

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan