DUNIA

'DUTA DAMAI' PERKASA BELIA INDONESIA UNTUK KEAMANAN, TOLERANSI - AGENSI ANTIKEGANASAN

09/01/2025 04:06 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 9 Jan (Bernama) -- Indonesia bergantung kepada program "Duta Damai" yang dikendalikan oleh Agensi Pencegahan Keganasan Kebangsaan (BNPT) untuk memperkasakan golongan muda sebagai agen perubahan dalam mempromosikan budaya keamanan dan toleransi dalam komuniti mereka di seluruh negara.

Dilancarkan pada 2016, inisiatif itu telah diperluas ke 19 wilayah dengan penambahan program "Duta Damai Santri" di Jawa Timur dan Jawa Tengah.

Santri merujuk kepada pelajar yang tinggal di sekolah pondok pengajian Islam.

“Program ini merupakan inisiatif pencegahan yang bertujuan mendekati dan memperkasakan golongan belia sehingga ke peringkat sekolah menengah,” kata Pesuruhjaya Jeneral Polis BNPT Eddy Hartono semasa pertemuan dengan Kementerian Pertahanan pada Rabu.

Beliau seterusnya menegaskan bahawa peserta dalam program itu dilengkapi dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk memainkan peranan kepimpinan dalam memerangi radikalisme di peringkat akar umbi.

Menteri Pertahanan Sjafrie Sjamsoeddin merakamkan penghargaannya terhadap program itu, mengiktiraf peranan pentingnya  dalam menangani cabaran kontemporari termasuk melindungi kedaulatan negara.

“Kami menyambut baik program ini kerana latihan kader adalah penting, memandangkan potensi besar generasi muda, terutamanya apabila digandingkan dengan semangat nasionalisme dan patriotisme,” tambahnya.

Dalam kenyataan berasingan, BNPT mengumumkan kerjasama strategik dengan syarikat penerbangan nasional, Garuda Indonesia untuk meningkatkan usaha dalam mencegah dan memerangi keganasan, khususnya dalam sektor penerbangan.

Semasa majlis menandatangani perjanjian kerjasama pada Rabu, beliau menyatakan bahawa perjanjian itu sangat strategik, baik dari segi pertukaran data dan perkara penting lain.

BNPT baru-baru ini melaporkan bahawa Indonesia berjaya mengharungi 2024 tanpa sebarang serangan pengganas terbuka, menandakan dua tahun berturut-turut, 2023 dan 2024, dengan "Sifar Serangan Pengganas".

Hasilnya, kedudukan Indonesia dalam Indeks Keganasan Global (GTI) bertambah baik, turun dari kedudukan ke-24 pada 2022-2023 kepada kedudukan ke-31 tahun lalu.

Negara itu kini diklasifikasikan di bawah kategori “Low Impacted by Terrorism” setelah sebelumnya berada dalam kategori “Medium Impact”.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan