AM

EMPAT PROJEK BAIK PULIH DI PASAR SITI KHADIJAH SIAP DISEMBER LEPAS - NIK NAZMI

09/01/2025 04:26 PM

KOTA BHARU, 9 Jan (Bernama) -- Empat projek baik pulih di Pasar Siti Khadijah dengan kos RM200,000 telah disiapkan pada 9 Dis lepas, kata Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kelantan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata projek yang telah siap adalah kerja-kerja menaik taraf sistem bekalan air, baik pulih longkang sekeliling, baik pulih sistem pelongsor dan baik pulih bumbung pasar kuih.

“Tiga projek masih dalam pelaksanaan antaranya meliputi kerja-kerja menaik taraf tandas komuniti di tingkat tiga dan Tandas Sejahtera, kerja-kerja menaik taraf bumbung dan kerja mengecat pada dinding luar, mengecat semula bangunan pada dinding luar dan dalam pasar dengan kos keseluruhan bernilai RM1.5 juta.

“Bagi projek berstatus prapelaksanaan, terdapat satu projek iaitu cadangan kerja menaik taraf Sistem Elektrik dan Sistem Pencegahan Kebakaran bernilai RM2.5 juta,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan amanat tahun baharu dalam perjumpaan khas di sini hari ini.

Nik Nazmi yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata kerja baik pulih berkenaan dijangka memberi keselesaan kepada 1,330 peniaga serta dapat menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong ke pasar berkenaan.

Terdahulu, Nik Nazmi meluangkan masa setengah jam di pasar berkenaan bagi meninjau kemajuan kerja baik pulih di Pasar Siti Khadijah.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meluluskan peruntukan sebanyak RM5.5 juta pada Oktober tahun lepas bagi projek baik pulih dan menaik taraf infrastruktur di Pasar Siti Khadijah.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan