EKONOMI

ASEAN PERLU TERIMA PAKAI DASAR PERINDUSTRIAN SERANTAU SUSULAN PERSAINGAN AS-CHINA

09/01/2025 07:51 PM

KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- ASEAN perlu menerima pakai dasar perindustrian yang luas dalam keadaan peningkatan dasar perlindungan dan halangan tarif ekoran persaingan yang semakin sengit antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata strategi serantau adalah lebih penting berbanding pendekatan bersifat nasional untuk menyokong keselamatan ekonomi dan memperkukuh rantaian bekalan dalam ASEAN.

“Sekiranya mahu mengembangkan teknologi Malaysia, kita memerlukan beberapa bentuk dasar industri. Bagaimanapun, oleh kerana kita mempunyai pasaran domestik yang besar, kita tidak dapat mencontohi sepenuhnya langkah yang dilakukan oleh China dan AS,” katanya di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian semasa sesi ‘Dasar Perdagangan: Dasar Perlindungan, Halangan Tarif, dan Geopolitik Global’ di Forum Ekonomi Malaysia 2025.

Liew berkata kerjasama antara industri semikonduktor dengan sektor lain seperti automotif, pertahanan dan pertanian adalah penting untuk menggalakkan integrasi teknologi yang menyeluruh.

“Sebagai sebuah kerajaan, kita menyasar untuk merangsang penyebaran teknologi. Kita mahu melihat integrasi horizontal antara industri semikonduktor, automotif, dan pertahanan," katanya.

Beliau berkata oleh itu, berasaskan visi dengan pendekatan itu, Malaysia akan berada di kedudukan pertengahan yang amat diperlukan dari segi teknologi dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Liew menggariskan visinya untuk meletakkan Malaysia sebagai peserta teknologi utama dalam dekad akan datang.

“Kita tidak akan dapat mengatasi China, Jepun, Korea Selatan, atau Taiwan. Bagaimanapun, di luar negara-negara ini, Malaysia akan meletakkan kedudukannya sedikit di bawah negara-negara tersebut, berada di kedudukan pertengahan yang menarik dan amat diperlukan,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan