KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Pemain beregu wanita profesional negara Vivian Hoo mengakhiri kariernya lebih sedekad apabila mengumumkan persaraannya di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini hari ini.
Pada pusingan kedua Terbuka Malaysia, Vivian yang bergandingan dengan Lim Chiew Sien tersingkir selepas dikecewakan oleh pilihan utama dari China Liu Sheng Shu-Tan Ning 21-6, 21-5.
Suasana bertukar hiba apabila peminat berdiri dan memberikan tepukan gemuruh sebagai tanda penghargaan ketika pemain itu beredar meninggalkan gelanggang sambil melambaikan tangan.
Vivian berkata walaupun ‘menggantung raket’ namun akan terus menyumbang kepada sukan yang diminati itu dengan membuka akademi di Balakong, Selangor dalam masa terdekat.
“Saya berharap dapat melahirkan pemain berbakat terutamanya wanita kerana kita tahu sejak dulu kita sentiasa kekurangan pemain wanita. Inilah impian saya selepas bersara,” katanya kepada pemberita di zon campuran hari ini.
Vivian boleh dianggap sebagai antara pemain beregu wanita berjaya kerana telah membantu Malaysia meraih dua pingat emas dalam Sukan Komanwel bersama Woon Khe Wei (Glasgow 2014) dan Chow Mei Kuan (Gold Coast 2018).
Vivian, yang turut merangkul emas untuk berpasukan pada Sukan Komanwel 2014 turut meraih gangsa pada Sukan Asia 2014 bersama Khe Wei dan beraksi di Sukan Olimpik Rio 2016.
Sementara itu, Chiew Sien berbangga berkongsi gelanggang dengan Vivian yang disifatkan sebagai senior hebat sejak mereka bergandingan pada penghujung 2020.
“Saya rasa setakat ini, dia antara gandingan terbaik yang pernah saya jumpa kerana dia sangat matang dan profesional,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beregu lelaki profesional Nur Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong tumpas pada pusingan kedua di tangan pilihan ketujuh dari India Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty 15-21, 15-21.
Untuk aksi seterusnya esok, empat wakil Malaysia akan bersaing merebut tempat separuh akhir, termasuk dua beregu lelaki Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan dua beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie.
-- BERNAMA