PUTRAJAYA, 10 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan persetujuan Malaysia menjadi pengerusi bersama Mesyuarat Peringkat Menteri bagi Persidangan mengenai Kerjasama antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) yang diterajui Jepun, pada Julai ini.
“Ia berkisar kepada isu pembinaan semula Gaza dan Palestin.
Ini sangat bermakna bagi kita di Malaysia dan juga bagi banyak negara termasuk umat Islam di seluruh dunia,” katanya dalam sidang media bersama Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba di Putrajaya pada Jumaat.
Ishiba kini sedang melakukan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia, lawatan pertama beliau ke negara ini sejak dilantik sebagai Perdana Menteri Jepun pada Oktober lepas.
CEAPAD merupakan kerangka persidangan serantau yang dimulakan Jepun pada 2013 untuk menyokong usaha pembangunan negara Palestin dengan memanfaatkan sumber, pengetahuan dan pengalaman pembangunan ekonomi negara-negara Asia Timur.
Anwar juga berkata bahawa Malaysia akan berbincang dengan negara-negara ASEAN berhubung kemungkinan menganjurkan mesyuarat berkenaan di Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak ASEAN akan datang.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri berkata Malaysia dan Jepun juga membincangkan keperluan mengekalkan keamanan di Laut China Selatan di tengah-tengah ketegangan berhubung pertikaian wilayah.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama Indo-Pasifik serta usaha mencari penyelesaian secara harmoni terhadap krisis di Myanmar, selaras dengan Konsensus Lima Perkara ASEAN.
Ishiba dalam sidang akhbar itu mengakui peranan strategik yang dimainkan Malaysia dalam rantau ini dan kedudukannya sebagai satu penghubung penting antara Lautan Hindi dan Lautan Pasifik.
“Malaysia, terletak di tengah-tengah Lautan Hindi dan Lautan Pasifik menghubungkan laluan laut dalam rantau ini. Malaysia merupakan rakan komprehensif yang berkongsi nilai dan prinsip asas dengan Jepun,” kata Ishiba.
Beliau juga menyatakan komitmen Jepun untuk bekerjasama rapat dengan Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN semasa, menerusi inisiatif seperti Pandangan ASEAN mengenai Indo-Pasifik (AOIP) dan merealisasikan Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka.
“Dalam era yang semakin rumit dan tidak menentu, mengukuhkan kerjasama dengan ASEAN dan rantau Asia Tenggara adalah satu daripada keutamaan tertinggi dalam diplomasi Jepun.
Menerusi usaha kerjasama ini, kami menyasarkan untuk memimpin dunia ke arah kerjasama yang lebih hebat,” katanya.
-- BERNAMA