GEORGE TOWN, 11 Jan (Bernama) -- MRT Corp akan menandatangani kontrak perjanjian dengan sebuah syarikat pada Isnin ini untuk memulakan kerja-kerja pembinaan sivil bagi segmen pertama projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara.
Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Mohd Zarif Hashim berkata majlis berkenaan akan diadakan di ibu pejabat MRT Corp di Kuala Lumpur yang dijangka dihadiri Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
“Segmen pertama adalah membabitkan jajaran dari Pulau Silikon ke Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR). Pada majlis itu nanti akan diumumkan kontraktor pertama yang akan menandatangani perjanjian dengan kita.
“Semuanya ada tiga kontrak yang utama dan seperti semua maklum, kontrak untuk sistem rel telah pun kita iklankan dan proses itu akan mengambil masa selama empat bulan lagi sehingga April.
“Kita berharap supaya sistem rel itu dapat dilantik atau anugerah (kepada kontraktor) menjelang suku ketiga tahun ini. Bagaimanapun semua perkara berkaitan kontrak tersebut akan diperincikan oleh menteri nanti,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang di Tapak Stesen LRT Bandar Sri Pinang di sini, hari ini.
Majlis disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Loke serta Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
Mohd Zarif berkata LRT Laluan Mutiara akan turut menyaksikan sambungan stesen terminus dari KOMTAR ke Penang Sentral dan sekiranya projek tersebut berjalan lancar, pihaknya menjangkakan laluan itu dapat dibuka pada 2031 iaitu enam tahun dari sekarang dengan kos keseluruhan dianggarkan RM13 bilion.
Mengenai pengambilalihan tanah di Tapak Pesta Sungai Nibong, beliau menjelaskan pihaknya mengambil serius hasrat perdana menteri untuk memelihara nilai sentimental kawasan tersebut yang sudah sinonim dengan rakyat Pulau Pinang.
Sehubungan itu, katanya perkara tersebut akan dibincangkan bersama Kerajaan Negeri Pulau Pinang memandangkan terdapat perancangan untuk membangunkan tapak berkenaan bagi melaksanakan Projek Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) dan tanah yang dicadangkan untuk diambil alih MRT Corp hanyalah sebahagian kecil daripada keseluruhan kawasan berkeluasan kira-kira 42 ekar bagi pembinaan depoh.
“Selebihnya itu, ada perancangan oleh kerajaan negeri untuk membangunkan tapak tersebut sebagai tapak TOD...kerana apabila TOD tersebut tidak dibangunkan bersama dengan infrastruktur rel, ia akan menyebabkan kesulitan pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, beliau memaklumkan perbincangan juga akan dibuat bersama Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) berhubung cadangan jambatan yang akan dibina untuk jajaran rel ke Penang Sentral.
“Jambatan ini tidak sama dengan jambatan pertama dan kedua Pulau Pinang kerana kita nak membolehkan kapal-kapal besar melalui kawasan itu.
“Jadi, disebabkan oleh reka bentuknya yang lebih tinggi ia memerlukan masa untuk bincang dengan SPPP dan tidak lupa juga kita ada paip air di dasar (laut), itu juga perlu diambil kira. Apa pun reka bentuk itu kita cuba selesaikan menjelang Julai tahun depan,” tambahnya.
LRT Laluan Mutiara merangkumi 21 stesen di lokasi-lokasi strategik, termasuk satu stesen provisional di Pulau Reklamasi Selatan Pulau Pinang atau Penang South Reclamation Island-A (PSR-A), meliputi jajaran sepanjang 29.5 kilometer (km).
-- BERNAMA