BAGAN DATUK, 11 Jan (Bernama) -- Majikan termasuk dari luar negara diseru memanfaatkan insentif yang disediakan kerajaan di bawah Dana Kerjaya dengan menggaji pekerja orang kurang upaya (OKU).
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ini kerana produktiviti yang dihasilkan golongan itu sama seperti pekerja normal.
"Sila beri keprihatinan kepada pekerja-pekerja OKU ini, inisiatif ini merupakan sesuatu usaha yang baik kerana mereka (pekerja OKU) ini hanya kurang anggota badan tetapi produktiviti mereka sama, kalau pun tidak lebih tinggi dari pekerja biasa (normal) ini," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Kerjaya MYFutureJobs Bagan Datuk 2025 yang turut dihadiri Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Menerusi Belanjawan 2025, majikan yang mengambil OKU dan bekas banduan bekerja di bawah inisiatif Daya Kerjaya 3.0 menerima insentif RM600 sebulan selama tiga bulan di bawah seliaan PERKESO.
Mengenai Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET negara berkata terdapat peningkatan kemasukan pelatih ke institusi TVET pada tahun lepas berbanding 2023.
Beliau berkata jumlah pelatih pada 2024 adalah seramai 280,000 berbanding 130,000 pada 2023.
Sementara itu, Abdul Rahman dalam ucapannya berkata statistik menunjukkan pengurangan ketara dalam kadar ketidakpadanan pekerjaan di negara ini daripada 40.5 peratus pada 2022 kepada 18.2 peratus pada 2023.
"Kejayaan ini memanifestasikan hasil usaha berterusan KESUMA (Kementerian Sumber Manusia) melalui PERKESO dalam memastikan pekerjaan yang ditawarkan sepadan dengan kelayakan dan kemahiran pencari kerja," katanya.
Beliau berkata bagi tempoh 2020 hingga 27 Dis lepas, terdapat 43,595 kekosongan jawatan yang menawarkan gaji RM10,000 ke atas selain seramai 1.2 juta pencari kerja berjaya mendapat pekerjaan.
Karnival Kerjaya MYFutureJobs Bagan Datuk yang berlangsung sehingga esok menawarkan lebih 5,400 peluang pekerjaan dengan julat gaji RM1,700 hingga RM5,000 dan disertai lebih 20 syarikat dari pelbagai sektor.
-- BERNAMA