JENAYAH & MAHKAMAH

DUA BOT NELAYAN DITAHAN LANGGAR SYARAT LESEN, GAJIKAN PEKERJA ASING

11/01/2025 07:28 PM

SHAH ALAM, 11 Jan (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menahan dua bot nelayan tempatan kerana disyaki melanggar syarat sah lesen dengan menggajikan kru warga asing tanpa kebenaran dalam insiden berasingan di perairan Sungai Janggut dan Pulau Pintu Gedong, dekat sini semalam.

Pengarah Maritim Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata penahanan pertama melibatkan sebuah bot di kedudukan 2.1 batu nautika barat daya Sungai Janggut, 2.50 pagi.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan tekong warga tempatan berusia 30 tahun serta empat kru termasuk tiga warga Myanmar, berusia lingkungan 39 hingga 46 tahun dan ketika ditahan mereka sedang menjalankan aktiviti penangkapan ikan.

“Tiga awak-awak warga Myanmar gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah serta permit kebenaran kerja di atas vesel berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Abdul Muhaimin berkata APMM turut menahan sebuah bot tempatan di kedudukan 15.9 batu nautika barat daya Pulau Pintu Gedong sekitar 1 tengah hari semalam. 

“Hasil pemeriksaan mendapati lesen vesel terbabit telah tamat tempoh dan pengusaha bot menggajikan pekerja asing tanpa kebenaran. Lima warga Myanmar termasuk tekong berumur 31 hingga 47 tahun turut gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua kes berkenaan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 manakala kesemua nelayan, dua bot serta hasil tangkapan berserta peralatan menangkap ikan dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM untuk tindakan lanjut.   

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan