AM

BADAN PEMIKIR POLITY DITUBUHKAN TUMPU DASAR SOSIO EKONOMI, KEMAHIRAN

11/01/2025 09:59 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) -- Sebuah badan pemikir dikenali sebagai Polity ditubuhkan untuk menjalankan penyelidikan berasaskan bukti, memperjuangkan dasar yang inklusif serta melaksanakan advokasi dan intervensi di lapangan yang mendorong perubahan bermakna.

Pengerusi Eksekutif Polity Nurul Izzah Anwar berkata badan itu akan diperkenalkan secara rasmi kepada umum pada majlis makan malam bersama Inisiatif Penyelidikan Sosial dan Ekonomi (SERI) yang akan diadakan 17 Feb ini. 

"Kami bergerak bersama komuniti untuk memastikan mereka memahami hak mereka, dasar yang berkesan dan program yang dapat meningkatkan kualiti hidup mereka selain akan bekerjasama dengan media bagi mempromosikan dasar dan program kita nanti,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Minum Petang Bersama Polity, di sini hari ini.

Beliau yang juga pengerusi SERI berkata Polity turut mendapat sokongan daripada pakar ekonomi, guaman, doktor dan pakar semikonduktor yang turut bekerjasama dalam mencapai visi organisasi itu yang memberikan penekanan terhadap wanita dan golongan belia.

Selain memberi tumpuan kepada Malaysia, katanya Polity juga berhasrat untuk berkembang ke peringkat antarabangsa terutama di rantau Asia Tenggara.

Antara program yang bakal dijalankan adalah melibatkan wanita, keamanan dan keselamatan dengan mengundang pakar daripada Thailand dan Indonesia untuk berkongsi pengalaman mereka dalam membina masyarakat yang lebih selamat dan inklusif untuk wanita.

"Di Malaysia, kami fokus kepada keselamatan ekonomi, kerana kami percaya bahawa ekonomi yang stabil adalah asas untuk membesarkan anak-anak dalam persekitaran yang terjamin, situasi yang berlaku di Gaza harus menjadi pemangkin untuk kita memanfaatkan peluang yang ada," katanya yang turut mengajak  orang ramai menjadi sukarelawan dan pelatih bagi melaksanakan program yang dirancang Polity.  

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan