JENAYAH & MAHKAMAH

KENDERAAN MASUK LALUAN BERTENTANGAN PUNCA ENAM MAUT DI SEMPORNA - POLIS

13/01/2025 09:10 AM

SEMPORNA, 13 Jan (Bernama) -- Kemalangan maut membabitkan tiga kenderaan di Jalan Semporna-Tawau di sini semalam berpunca akibat kereta dinaiki mangsa memasuki laluan bertentangan, kata Ketua Polis Daerah Semporna Supt Mohd Sabri Zainol.

Beliau berkata kereta dipandu lelaki berumur 34 yang dinaiki enam orang berumur antara enam bulan hingga 82 tahun itu memasuki laluan bertentangan sebelum berlanggar dengan pacuan empat roda dan kenderaan pelbagai guna (MPV). 

Pemandu kereta parah, lima penumpang maut di tempat kejadian dan seorang lagi meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di unit kecemasan Hospital Semporna.

Beliau berkata kesemua enam mangsa masing-masing tiga lelaki dan perempuan mempunyai pertalian keluarga.

"Kenderaan pacuan empat roda dipandu lelaki berusia 31 tahun manakala MPV dipandu lelaki berumur 29 tahun dalam perjalanan dari Semporna ke Tawau manakala kereta dari arah Tawau menuju ke Semporna," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih diteruskan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik Ibu Pejabat Polis (IPD) Semporna Inspektor A Hemkkumar di talian 012-3650021 atau 089-782020.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan