MELAKA, 13 Jan (Bernama) -- Melaka berhasrat menubuhkan akademi hoki negeri sebagai usaha melahirkan lebih ramai pemain bintang dalam sukan itu pada masa hadapan.
Presiden Persatuan Hoki Melaka (PHM) Datuk Rais Yasin berkata sebagai permulaan pihaknya bekerjasama dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Melaka bagi melaksanakan program memperkasakan sukan hoki.
"Perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat persatuan sebelum ini dan sebagaimana diketahui peminat sukan ini, sekolah berkenaan sentiasa aktif dengan hoki di samping melahirkan ramai pemain berkualiti.
"Kerjasama ini merangkumi pelbagai sudut seperti padang, peralatan dan lain-lain kemudahan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyampaian hadiah Liga Hoki Melaka di sini malam tadi.
Mengulas lanjut Rais berkata PHM juga akan memohon kepada Jabatan Pendidikan Negeri untuk membawa cadangan menubuhkan akademi hoki negeri kepada Kementerian Pendidikan dalam merealisasikan hasrat itu.
Beliau berkata usaha itu pasti akan merancakkan lagi pembangunan sukan hoki di Melaka terutamanya peringkat akar umbi seterusnya melahirkan lebih ramai pemain berbakat untuk mewakili negara di masa depan.
"Seperti kita tahu Melaka juga telah melahirkan atlet kebangsaan seperti legenda hoki negara Datuk Mirnawan Nawawi dan ramai lagi, usaha ini pasti dapat mengembangkan lagi sukan hoki di negeri ini," katanya.
Dalam pada itu, Rais berkata proses naik taraf Stadium Hoki Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Bukit Serindit yang menelan kos RM5 juta dijangka mengambil tempoh setahun setengah untuk siap sepenuhnya.
Kerja naik taraf akan bermula pada Julai melibatkan padang rumput tiruan (Astro Turf), sistem pengairan dan beberapa komponen lain.
Terdahulu, Liga Hoki Melaka 2024/2025 Kategori Bawah 12 Tahun Lelaki dan Perempuan dan Bawah 15 Tahun Lelaki diadakan yang melibatkan 16 pasukan.
Rais berkata sejak kali terakhir diadakan pada 2018, penyertaan diterima daripada pasukan sekolah-sekolah amat menggalakkan dan saingan itu akan diteruskan bagi kategori Terbuka Lelaki dan Perempuan pada Jun depan.
-- BERNAMA