AM

YSIJ SUMBANG 564 KIT BANTUAN BENCANA KEPADA MANGSA BANJIR DI KOTA TINGGI

13/01/2025 01:52 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) menyumbang sebanyak 564 kit bantuan bencana kepada mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kota Tinggi pada Sabtu dan Ahad lepas.

Menurut hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang dimuat naik hari ini, sumbangan berkenaan dikumpulkan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin dengan bantuan Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) sebelum disampaikan kepada penerima.

Pegawai JMF Leftenan Mohamad Farid Embok Mosik hadir untuk menerima barangan sumbangan tersebut.

Hantaran sama memetik Pengurus Kanan YSIJ Shah Reza Md Kanafe sebagai berkata pihaknya sentiasa bersedia untuk mempersiapkan bantuan kepada mangsa banjir agar mereka dapat menerima bantuan segera selepas ditempatkan di PPS.

“Setakat ini (semalam), sebanyak 12 pusat PPS di Kota Tinggi telah menerima kit bantuan bencana yang disampaikan oleh anggota JMF. 

“Saya amat berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mangsa banjir,” katanya.

Shah Reza merakamkan penghargaan kepada JMF yang turut membantu dalam menghantar sumbangan berkenaan ke PPS di Kota Tinggi. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan