AM

OMBAK BESAR BADAI RUMAH, 23 KELUARGA PINDAH KE PPS

13/01/2025 06:10 PM

KUALA TERENGGANU, 13 Jan (Bernama) -- Lapan puluh orang daripada 23 keluarga di Kemaman dan Dungun terpaksa mencari perlindungan di pusat perlindungan sementara (PPS) ekoran fenomena ombak besar membadai kediaman mereka yang berhampiran pantai.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu Mohd Zul Khairi Shamsuddin berkata daripada jumlah itu 66 mangsa di Kemaman dan 14 mangsa lagi di Dungun.

“Di Kemaman, sebuah PPS dibuka di Balai Raya Kampung Geliga Pantai sejak Sabtu lepas melibatkan 19 keluarga manakala Balai Raya Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bandar Paka mula beroperasi sebagai PPS pada 9 malam tadi dengan menempatkan empat keluarga.

“Kesemua mereka yang tinggal sekitar Pantai Geliga dan Pantai Paka semalam menyaksikan ketinggian ombak antara 3.8 meter dan 4 meter dengan kelajuan 60 kilometer sejam bermula selepas Maghrib hingga tengah malam,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. 

Beliau berkata keadaan ketika ini masih terkawal namun sekiranya keadaan ombak seperti semalam berulang kemungkinan akan berlaku pertambahan penduduk ke PPS. 

"Kita juga berharap tidak berlaku hujan lebat kerana ia mungkin menjadikan keadaan lebih teruk,” katanya menambah kesemua tujuh daerah selain Hulu Terengganu yang berada di pesisir pantai berisiko mengalami situasi serupa. 

Mohd Zul Khairi berkata 200 anggota APM telah digerakkan untuk memantau situasi semasa di seluruh Terengganu termasuk di kawasan tidak berisiko mengambil kira kedudukan geografi yang rendah. 

Sementara itu, Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Terengganu Rosli Zakaria berkata ombak besar juga boleh dipengaruhi fenomena “perigee” (keadaan apabila bulan berada pada kedudukan paling hampir dengan bumi), bulan penuh, serta luruan monsun, namun kesannya berbeza mengikut situasi tertentu.

Beliau berkata pihaknya menjangkakan ombak besar dan gelombang tinggi berterusan di Terengganu hingga ke penghujung Monsun Timur Laut (MTL) iaitu pada Mac.

"Buat masa ini jangkaan angin kencang dan laut bergelora ini akan berterusan hingga 18 Jan ini. Keadaan ombak besar ketika ini adalah fenomena biasa namun ia akan menjadi lebih teruk apabila luruan monsun yang kuat serentak dengan fenomena air pasang besar,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Mohd Shameer Talib, 33, dari Kampung Geliga Baru di sini berkongsi detik dia nyaris dihempap bumbung rumah yang runtuh akibat angin kencang dan ombak besar lewat petang semalam.

Mohd Shameer yang tinggal sendirian di rumah pusaka arwah ibunya, berkata ketika kejadian dia berada di dapur selepas selesai mengalih perabot dan tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat dari ruang tamu.

"Nasib baik saya di dapur, kalau tidak tak tahu apa jadi pada saya. Selain bumbung rumah, bahagian dinding juga tercabut diterbangkan angin.

"Beberapa peralatan elektrik dan perabot rosak. Sedih juga melihat banyak barang peninggalan arwah mak rosak dan tak dapat diselamatkan," katanya ketika ditemui di PPS Balai Raya Kampung Geliga Pantai.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan