AM

KPDN BUKA KERTAS SIASATAN KILANG ROTI DISYAKI SALAH GUNA LOGO HALAL

13/01/2025 09:18 PM

PUTRAJAYA, 13 Jan (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membuka kertas siasatan terhadap sebuah kilang pembuat roti sandwic di Sunway Damansara, Petaling Jaya, Selangor kerana disyaki menyalah guna logo halal.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Datuk Azman Adam dalam kenyataan hari ini berkata kes disiasat kerana melanggar Perenggan 4(1) Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] dan menjadi kesalahan di bawah Perenggan 8(a), Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

Beliau berkata kertas siasatan itu dibuka selepas sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Putrajaya bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) membuat serbuan terhadap kilang itu Khamis lepas.

Beliau berkata serbuan itu susulan aduan yang diterima oleh pihak JAKIM dan tular melalui aplikasi TikTok berkaitan penggunaan perakuan logo halal yang meragukan pada produk roti sandwic yang dijual di beberapa premis pasar raya terkemuka sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

"Hasil maklumat awal, premis merupakan sebuah kilang yang membuat dan membekalkan produk roti sandwic serta menggunakan penandaan logo halal JAKIM yang disyaki tamat tempoh. "Pemeriksaan lanjut mendapati, premis terbabit tidak memiliki kelulusan halal daripada pihak JAKIM dan logo halal yang dilekatkan pada produk roti sandwic tersebut ialah logo halal yang diperakukan kepada sebuah syarikat lain yang tidak lagi beroperasi dan telah menjual perniagaannya kepada syarikat yang diserbu.

"Sijil pengesahan halal tersebut juga disahkan telah tamat tempoh pada 15 Okt 2023," katanya.

Azman berkata hasil serbuan, pihak KPDN telah menyita pelbagai jenis roti sandwic, sebuah komputer, mesin pencetak dan beberapa dokumen perniagaan yang berkaitan.

Beliau berkata KPDN juga akan menghantar sampel sandwic tersebut ke Jabatan Kimia untuk mendapatkan pengesahan tentang kandungan sebenar yang digunakan dalam penghasilan sandwich tersebut. 

"Pengguna juga disarankan supaya tidak mudah terpedaya serta lebih berhati-hati dalam memilih produk yang mempunyai sijil halal. 

“Pastikan sijil halal tersebut adalah yang diiktiraf oleh pihak berkuasa berwibawa. Maklumat dan aduan berkaitan halal boleh disemak di Portal Halal Malaysia melalui laman sesawang www.halal.gov.my," katanya.

Sementara itu, JAKIM dalam kenyataan menerusi Facebooknya memaklumkan produk berkenaan tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan syarikat yang menghasilkan produk itu bukan pemegang SPHM.

“Oleh itu, tindakan pihak syarikat mencetak logo halal Malaysia pada label produk tersebut adalah satu kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] iaitu Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan tindakan undang-undang telah diambil oleh KPDN.

“Pengguna dinasihatkan supaya menyemak status halal sesuatu produk melalui Portal Halal Malaysia atau aplikasi Verify Halal. Pastikan produk tersebut telah dipersijilkan halal oleh pihak yang berautoriti,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Ku Mashariman Ku Mahmood mengesahkan menerima satu laporan berhubung penjualan makanan sandwic berlabel 'Ham And Cheese' yang diragui status halalnya di sebuah kedai serbaneka di sebuah universiti awam.

“Kita menerima satu laporan polis pada Jumaat lepas yang dibuat oleh pelajar institusi pengajian tinggi awam terbabit dan kes telah dirujuk kepada pihak JAKIM serta KPDN untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu di Melaka, Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa pimpinan bahagian tampil membuat laporan polis berhubung tindakan sebuah kedai serbaneka yang didakwa menjual produk terbabit dalam kampus sebuah universiti awam di Kuala Lumpur. 

"Semua badan bukan kerajaan (NGO) juga digesa mengambil langkah yang sama sebagai bantahan terhadap pengkhianatan yang dilakukan oleh premis tersebut terutama apabila JAKIM sudah mengesahkan produk itu tidak mempunyai SPHM. 

"Ini seolah-olah menipu seluruh umat Islam dalam Malaysia ini dan kita juga minta kerajaan dan agensi mengenakan tindakan berat kepada mereka yang menggunakan logo halal secara haram ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini. 

-- BERNAMA

 


 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan