ALOR SETAR, 13 Jan (Bernama) -- Tiga nelayan yang dikhuatiri hilang setelah menjalankan aktiviti merawai dekat Pulau Payar, Khamis lepas ditemukan selamat di Indonesia.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata penemuan Asrul Hisham Zainon, 47, anaknya Shahril Aiman Asrul Hisham, 16, serta Mohamad Al-Amin Sufian, 29, itu telah dimaklumkan oleh ahli keluarga mereka.
“Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi menerima maklumat daripada adik kepada seorang daripada mangsa bahawa ibunya telah dihubungi nelayan berkenaan dan memaklumkan bahawa mereka bertiga berada dalam keadaan baik dan selamat.
“Pihak Maritim Malaysia telah menghubungi Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) Indonesia dan dimaklumkan bahawa ketiga-tiga mereka diselamatkan oleh nelayan Aceh Tamiang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pihaknya menerusi MRSC Langkawi akan mengadakan rundingan bersama BASARNAS Indonesia bagi urusan membawa pulang ketiga-tiga nelayan berkenaan.
Sebelum ini media melaporkan tiga nelayan itu dikhuatiri hilang selepas tidak pulang ke pangkalan setelah menjalankan aktiviti merawai di Pulau Payar.
-- BERNAMA