KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di tiga negeri bermula Khamis hingga Ahad ini.
MetMalaysia menerusi kenyataan hari ini memaklumkan hujan berterusan dijangka berlaku di Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit (Song dan Kapit) dan Bintulu di Sarawak bermula Khamis hingga Sabtu.
Keadaan sama juga diramal berlaku di Sabah melibatkan kawasan Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) serta Kudat bermula Khamis hingga Jumaat.
Hujan berterusan turut dijangka berlaku di Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru pada Jumaat hingga Ahad.
-- BERNAMA