PUTRAJAYA, 14 Jan (Bernama) -- Konsep Negara Bangsa akan diperkenalkan untuk membentuk sebuah masyarakat yang bersatu padu, menghormati perbezaan, dan berkongsi identiti sebagai rakyat Malaysia, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.
Beliau berkata Negara Bangsa tidak bermaksud menafikan kepelbagaian budaya, agama atau adat resam sebaliknya ia adalah satu usaha untuk menyatukan semua perbezaan di bawah payung identiti nasional.
“Tahun ini, saya ingin juga membawa kita semua untuk menghayati dan memperkukuhkan satu konsep yang sangat penting dalam memastikan kesinambungan kestabilan negara iaitu konsep Negara Bangsa. Negara Bangsa adalah lebih daripada sekadar istilah.
“Saya juga telah meminta Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad untuk meneliti cadangan menganjurkan satu Konvokesyen Negara Bangsa peringkat kebangsaaan,” katanya ketika berucap pada majlis amanat Menteri Perpaduan Negara 2025 di sini hari ini.
Sementara itu, Aaron berkata Kementerian Perpaduan Negara dan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada tahun ini akan menjalankan Piagam Harmoni yang merangkumi enam prinsip, 12 nilai keharmonian, 32 panduan dan sembilan hala tuju.
“Piagam Harmoni itu turut mengandungi satu garis paduan meliputi perkara yang perlu dielak dalam memperkasa hubungan masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya.
“Polarisasi kaum dan agama, ketidakseimbangan sosioekonomi serta ancaman dari luar memerlukan kita semua bersatu hati dan berganding bahu. Kunci kejayaan kita adalah kerjasama erat antara semua lapisan masyarakat,” katanya.
Aaron turut menggariskan empat ikhtiar utama, iaitu Ekosistem Perpaduan, Inisiatif Harmoni MADANI, Eksplorasi Rukun Negara dan Komuniti Sosio-Budaya yang akan menjadi asas hala tuju Kementerian Perpaduan Negara tahun ini.
“Tahun 2025 menuntut kita untuk terus memperkukuhkan perpaduan sebagai teras kepada kestabilan dan kemajuan negara,” katanya menambah, tema kementerian pada tahun ini adalah ‘Harmoni Dalam Kepelbagaian”.
-- BERNAMA