PUTRAJAYA, 14 Jan (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan menetapkan dua hari pada Mac untuk mendengar rayuan akhir enam individu yang disabitkan dan dijatuhi hukuman mati kerana membunuh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais pada 2015.
Peguam Jasmine Cheong yang mewakili seorang daripada tertuduh, bekas pakar patologi Kolonel Dr R. Kunaseegaran yang mengesahkan perkara itu kepada Bernama, berkata mahkamah menetapkan 13 dan 14 Mac ini untuk mendengar rayuan itu.
Pengurusan kes berlangsung hari ini, di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Mahyun Yusof.
Enam lelaki itu - Kunaseegaran, 62; pemberi pinjaman wang S. Ravi Chandaran, 54; dan empat penganggur iaitu R. Dinishwaran, 33, A.K. Thinesh Kumar, 32, M. Vishwanath, 35, dan S. Nimalan, 32, merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman mati yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi.
Pada 10 Julai 2020, Mahkamah Tinggi mensabitkan semua mereka bersalah membunuh Morais di sebuah lokasi sepanjang Jalan Dutamas Raya Sentul dan No 1, Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya antara 7 pagi hingga 8 malam pada 4 Sept 2015.
Rayuan mereka ditolak Mahkamah Rayuan pada Mac tahun lepas. Panel tiga hakim mengekalkan hukuman itu kerana kejadian membunuh itu dirancang rapi dan keadaan mayat si mati semasa dijumpai menunjukkan kekejaman semua tertuduh.
Morais dilihat kali terakhir meninggalkan kondominiumnya dengan menaiki kereta Proton Perdana dari Menara Duta, Kuala Lumpur ke pejabatnya di Jabatan Peguam Negara di Putrajaya.
Mayatnya ditemukan dalam tong dram yang diisi konkrit di Subang Jaya pada 16 Sept tahun sama.
-- BERNAMA