PUTRAJAYA, 14 Jan (Bernama) -- ASEAN terus kekal sebagai satu blok yang relevan dan mampu memainkan peranan penting dalam lanskap geopolitik masa kini.
Ini dapat dilihat apabila beberapa negara termasuk kuasa besar menyatakan minat untuk menjalin kerjasama termasuk menjadi rakan dialog dengan blok serantau itu.
Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin berkata ASEAN terus berkembang kukuh dalam memupuk keamanan, kestabilan serta membuka peluang kepada pertumbuhan ekonomi sejak penubuhannya pada 1967.
“ASEAN kini diktiraf oleh masyarakat antarabangsa. ASEAN juga dikenali sebagai satu pertubuhan serantau yang sangat berjaya.
Kejayaan ini telah menarik minat banyak pihak untuk menjalin kerjasama dengan ASEAN,” katanya pada satu sidang media berhubung Kepengerusian ASEAN 2025 di sini pada Selasa.
Ketika ini, Amran berkata ASEAN mempunyai 11 rakan dialog, lapan rakan dialog sektor dan enam rakan dialog pembangunan.
“Kita tahu masih ada negara-negara yang telah menyuarakan hasrat dan minat kuat untuk menjadi ASEAN sebagai rakan dialog, rakan dialog sektor atau rakan dialog pembangunan,” katanya.
Selain itu, Amran berkata ASEAN juga menjalin kerjasama dengan lapan negara rakan dialog di bawah Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) dan 17 negara rakan dialog dalam Forum Serantau ASEAN (ARF).
Beliau berkata semakin banyak negara berminat memeterai Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC) dengan ASEAN.
“Kini, terdapat 55 buah negara bukan negara anggota ASEAN menyertai TAC. Masih ada negara-negara yang permohonan mereka sedang dipertimbangkan ASEAN,” katanya.
Beliau berkata TAC merupakan satu instrumen utama dalam ASEAN yang boleh menyumbang kepada kestabilan dan keamanan serantau.
Amran berkata pakar-pakar ekonomi turut berpandangan bahawa blok 10 anggota itu bakal menjadi penjana ekonomi dan kuda hitam ekonomi dunia.
Dengan jumlah keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak US$3.8 trilion pada 2023 dan gabungan penduduk berjumlah 677 juta, beliau berkata ASEAN kini merupakan ekonomi kelima terbesar dunia selepas Amerika Syarikat, China, Jepun dan Jerman.
Sementara itu, Amran berkata Kepengerusian ASEAN 2025 antara lain tertumpu kepada pembangunan Wawasan Komuniti ASEAN 2045 dengan deklarasi 20 tahun itu dijangka diterima pakai pada tahun ini.
Beliau berkata Wawasan Komuniti ASEAN akan menyediakan hala tuju untuk mempercepatkan pembangunan mampan di rantau ini.
“Malaysia telah memainkan peranan penting dalam membangunkan Visi Komuniti ASEAN 2045 dan prosesnya telah bermula sejak tahun 2022. Ia mengambil masa kerana melibatkan banyak aspek dan memerlukan banyak siri mesyuarat dan konsultasi antara negara-negara anggota ASEAN,” katanya.
Malaysia secara rasmi memegang jawatan Pengerusi ASEAN bermula 1 Jan dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”.
Malaysia kini menjadi Pengerusi ASEAN buat kali kelima selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.
ASEAN dianggotai 10 negara rantau Asia Tenggara iaitu Brunei, Filipina, Indonesia, Kemboja, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand dan Vietnam.
-- BERNAMA