KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Kalangan pengarah korporat mengiktiraf kepelbagaian komposisi dalam lembaga pengarah, kecerdasan buatan generatif (GenAI) dan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), bagaimanapun berhadapan cabaran dalam pelaksanaannya, kata satu tinjauan oleh PwC Malaysia.
Tinjauan Pengarah Korporat PwC Malaysia edisi sulung itu mendapati kebanyakan pengarah yakin untuk memenuhi tanggungjawab tadbir urus yang rutin, dengan 96 peratus daripadanya berjaya mewujudkan struktur dan kawalan tadbir urus korporat, manakala 90 peratus menerima perubahan dasar dan peraturan dengan berkesan.
"Bagaimanapun, kebimbangan masih wujud dalam mengharungi isu-isu kritikal yang muncul," kata PwC Malaysia dalam satu kenyataan hari ini.
Ia berkata, sebagai contoh, meskipun seramai 75 peratus responden mengiktiraf kepentingan GenAI dan keselamatan siber, namun hanya 4.0 peratus memiliki kemahiran yang diperlukan untuk mengawasi strategi syarikat dalam bidang ini dengan berkesan.
Situasi ini menggambarkan jurang kemahiran yang kritikal yang perlu diatasi agar lembaga pengarah dapat berkembang dengan lebih pantas dan memastikan kemampanan perniagaan yang berterusan, kata PwC Malaysia.
"Sementara itu, semua responden melaporkan terdapat perbincangan sekurang-kurangnya sekali mengenai topik kemampanan dalam mesyuarat lembaga pengarah sepanjang tahun lepas, namun, kurang daripada satu perlima memahami sepenuhnya komitmen syarikat yang memberi kesan terhadap keputusan peruntukan modal.
“Selain itu, hanya 25 peratus percaya bahawa kepelbagaian dalam lembaga memberikan prestasi lembaga atau syarikat yang lebih baik, walaupun 53 peratus daripada pengarah dalam tinjauan bersetuju bahawa kepelbagaian membawa perspektif berharga kepada barisan lembaga pengarah,” katanya.
Pengerusi Eksekutif PwC Malaysia Nurul A’in Abdul Latif berkata penemuan itu mendedahkan bahawa adalah penting untuk menjadikan kepelbagaian lembaga sebagai agenda strategik.
“Sebagai contoh, penemuan kami menunjukkan 44 peratus pengarah menginginkan hubungan yang lebih kukuh antara inisiatif kepelbagaian itu dan hasil daripada perniagaan.
"Justeru itu, dengan laporan ini, kami bercita-cita untuk mengadakan dialog penting mengenai tingkah laku dan piawaian yang harus diterapkan oleh pemimpin di kepimpinan tertinggi organisasi," katanya.
Nurul A’in berkata dalam era baharu ini, komposisi lembaga yang pelbagai memberikan banyak perspektif dan melengkapi lembaga dengan lebih baik untuk mengharungi cabaran yang muncul dengan cekap dan membina kepercayaan di seluruh organisasi.
Sementara itu, PwC Malaysia berkata hasil tinjauan juga mencadangkan bahawa sesetengah lembaga pengarah syarikat terus melihat kemampanan hanya sebagai pematuhan terhadap peraturan.
“Ini didorong oleh kekurangan kejelasan dan kawalan ke atas rancangan sifar bersih syarikat mereka dan ketepatan laporan kemampanannya.
"Selain itu, kekurangan keyakinan yang ketara juga berlaku terhadap keupayaan lembaga, terutamanya dalam mengawasi GenAI dan risiko keselamatan siber," katanya.
Tinjauan itu juga mendapati kira-kira 75 peratus responden mengiktiraf keperluan untuk melabur dalam GenAI dan keselamatan siber dalam tempoh 12 bulan lepas.
"Bagaimanapun, niat untuk melabur dalam teknologi jelas, namun, pengarah tidak yakin dengan keupayaan lembaga dan pengurusan mereka untuk menyelia dan melaksanakan inisiatif ini," katanya.
Semasa pelancaran tinjauan itu hari ini, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata kepelbagaian adalah satu bidang yang memerlukan kemajuan berterusan.
Beliau berkata walaupun wanita membentuk 26.6 peratus ahli lembaga pengarah dalam syarikat tersenarai, pembabitan mereka dalam barisan kepimpinan kekal terhad, dengan hanya 66 daripada 892 syarikat tersenarai awam mempunyai pengerusi wanita.
“Oleh itu, kami mengalu-alukan kerjasama antara pihak berkepentingan seperti Kumpulan Pemerhati Pemegang Saham Minoriti dan The 30% Club Malaysia, khususnya dalam memperkasakan usaha advokasi mengenai kepelbagaian jantina,” katanya.
Di samping itu, beliau berkata pembaharuan lembaga juga sama penting, dengan hanya 64 peratus atau 307 pengarah bebas merupakan lantikan baharu pada 2024, turun daripada 67 peratus pada 2023.
“Tanpa pembaharuan berterusan, lembaga pengarah berisiko kehilangan perspektif baharu dan kemahiran yang diperlukan untuk menangani cabaran masa depan,” katanya.
-- BERNAMA