AM

PELAKSANAAN DASAR LATIHAN AMALI 1:3 BERI MANFAAT KEPADA 100,000 PELAJAR - KESUMA

15/01/2025 04:56 PM

PUTRAJAYA, 15 Jan (Bernama) -- Dasar Latihan Amali 1:3 yang bakal dilaksanakan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp) dijangka memberi manfaat kepada 100,000 pelajar tempatan.

KESUMA dalam kenyataan memaklumkan dasar itu akan dipantau dan dilaksanakan secara berperingkat bermula fasa rintis pada 15 Feb hingga 31 Dis ini dan akan berkuat kuasa sepenuhnya pada 1 Jan 2026.

"Dasar baharu ini memperuntukkan syarikat yang menggajikan ekspatriat di Malaysia untuk menyediakan penempatan latihan amali kepada pelajar institut pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara," menurut kenyataan itu.

Menurut KESUMA, langkah itu memperkukuh sumbangan ekspatriat kepada pembangunan negara dengan memberi peluang kepada bakat tempatan menjalani latihan amali berstruktur bagi mempersiapkan mereka untuk memenuhi keperluan industri.

Menerusi dasar itu, syarikat terlibat akan menikmati insentif pelepasan cukai melalui Program Latihan lndustri Berstruktur Nasional (MySIP) di samping membantu dan melatih bakat tempatan untuk menghadapi cabaran pasaran kerja yang kompetitif.

Bagi memastikan dasar itu dilaksanakan secara efektif dan menyeluruh, syarikat perlu menyediakan sehingga tiga penempatan latihan industri berbayar dan berstruktur kepada pelajar tempatan dengan nisbah 1 ekspatriat kepada 3 pelatih industri bagi setiap Pas Penggajian Ekspatriat (EP) yang diluluskan melalui Pusat Perkhidmatan Ekspatriat Malaysia (MYXpats) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Menurut KESUMA, penyesuaian nisbah itu turut mengambil kira saiz organisasi dan jumlah tenaga kerja dalam sesebuah syarikat.

Selain itu, pelaksanaan dasar itu hanya akan dilaksanakan selepas ekspatriat menerima kelulusan EP dan tidak akan menjejaskan proses kelulusan penggajian ekspatriat semasa.

Syarikat yang memenuhi keperluan itu akan turut diberi keutamaan dalam kelulusan pada masa hadapan, menurut kenyataan itu.

KESUMA memaklumkan pelaksanaan dasar berkenaan tidak akan melibatkan sebarang kos tambahan dan akan disokong oleh ekosistem Insentif Latihan Amali (ILHAM) KESUMA bagi memudah cara syarikat menyediakan penempatan latihan industri.

Menurut kenyataan itu, bagi kelulusan Pas Penggajian II, syarikat perlu menyediakan dua tawaran atau penempatan latihan industri manakala bagi Pas Penggajian Ill, syarikat dikehendaki menyediakan satu penempatan.

"Jika nisbah penempatan latihan industri melebihi kadar dua peratus daripada jumlah pekerja, maka kadar minimum penempatan latihan industri akan ditetapkan pada kadar dua peratus sahaja daripada jumlah tenaga kerja syarikat secara automatik," menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, KESUMA memaklumkan untuk tempoh pelaksanaan fasa rintis yang bermula 15 Feb ini, dasar itu hanya terpakai kepada syarikat kategori I dan II sahaja.  

Menurut KESUMA, TalentCorp sebagai penyelaras utama akan bekerjasama rapat dengan IPT, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), pemain industri, dewan perniagaan antarabangsa dan persatuan terlibat untuk memastikan keberkesanan pelaksanaan dasar itu.

Selain itu, dasar tersebut adalah selaras dengan tiga tonggak Rangka Kerja Ekonomi MADANI iaitu kelestarian, kesejahteraan dan inovasi bagi menyokong pertumbuhan ekonomi, penciptaan pekerjaan serta pembangunan tenaga kerja tempatan yang berdaya saing dan inovatif.

Untuk maklumat lanjut berhubung pelaksanaan Dasar Latihan Amali 1:3, layari www.talentcorp.com.my/1to3policy.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan