DUNIA

LAWATAN ANWAR KE UAE BUKA JALAN KERJASAMA EKONOMI DAN PERDAGANGAN YANG LEBIH LUAS

15/01/2025 08:05 PM

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Kunjungan kedua Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) berjaya melakar penglibatan strategik yang bakal memperkukuh hubungan dua hala dan membuka peluang baharu untuk kerjasama antara kedua-dua negara.

Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Prof Datuk Dr Mohd Faiz Abdullah berkata pertemuan Anwar, termasuk dengan Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum, menekankan kepentingan perkongsian ekonomi sebagai asas dalam memperdalam hubungan dua hala antara Malaysia, sebuah negara perdagangan dan UAE, yang telah menerajui kepelbagaian ekonomi di rantau yang kaya dengan bahan api fosil sejak sedekad lalu.

Kunjungan itu juga merupakan lawatan luar negara pertama Anwar sebagai Pengerusi ASEAN dan lawatan pertama beliau untuk 2025.

Antara acara kemuncak lawatan itu ialah pemeteraian Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-UAE (MY-UAE CEPA), yang juga merupakan perjanjian perdagangan bebas (FTA) pertama Malaysia dengan anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC), melambangkan langkah penting dalam mengukuhkan hubungan Malaysia-UAE dan memajukan perkongsian ekonomi dengan anggota utama GCC.

Mohd Faiz berkata perjanjian itu adalah satu pencapaian besar, memastikan akses bebas cukai segera untuk 6,331 barisan tarif produk, dengan prospek untuk pengembangan.

Ia memberi manfaat kepada eksport utama Malaysia seperti minyak sawit mentah, bahan kimia, plastik, elektronik, barang kemas, produk petroleum, barangan berasaskan getah dan makanan diproses dalam tempoh tujuh tahun akan datang.

Sementara itu, Bab Islam CEPA membuka peluang kepada pemain dalam sektor utama seperti perdagangan halal, kewangan Islam, pembangunan modal insan dan ekonomi digital Islam untuk berkembang dan memperluaskan skop serta urusan mereka, memberi suntikan kepada aliran data merentas sempadan, e-dagang, kerjasama dalam infrastruktur digital, teknologi hijau dan pembangunan industri, katanya.

"Perkara utama mengenai titik fokus ini adalah ia akan menjana pertumbuhan yang lebih kukuh dalam perdagangan dua hala dan meningkatkan aliran pelaburan, sambil mengutamakan sokongan untuk PKS, yang akhirnya akan mewujudkan peluang pekerjaan dan memperluas akses ke pasaran UAE.

"Yang penting, perjanjian ini juga mempersiapkan Putrajaya untuk rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-GCC (MGFTA), yang dijangka bermula pada awal 2025," katanya.

Mohd Faiz memuji Memorandum Persefahaman untuk memperkukuh kerjasama dalam kecerdasan buatan (AI) di bawah Inisiatif Kecerdasan Buatan (MMAI) Malaysia MADANI sebagai titik perubahan, kerana ia menjanjikan sokongan kedua-dua negara untuk memanfaatkan teknologi terkini bagi membina komuniti yang lebih selamat dan terjamin.

Katanya, kerjasama ini mencerminkan falsafah asas untuk menggunakan AI bukan hanya untuk kecekapan perniagaan atau organisasi atau untuk meningkatkan produktiviti, tetapi untuk memberi kuasa kepada negara untuk memanfaatkan kuasa transformasinya demi kebaikan bersama - melindungi keselamatan awam secara meluas dan memastikan kita bergerak maju dalam merintis rantai nilai teknologi, untuk keamanan dan kemakmuran bersama.

"Pencapaian ini juga berasaskan aspek praktikal untuk mengeratkan hubungan dua hala yang kedua-dua negara telah bersetuju untuk memanfaatkan platform seperti Forum Ekonomi ASEAN-GCC bagi menjana lebih banyak kerjasama sektor awam-swasta dalam AI yang bertujuan untuk menyatukan pemain serantau dalam dasar, industri dan inovasi untuk menghadapi cabaran dunia yang semakin rumit dalam era pasca normal ini," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Faiz berkata penglibatan Anwar dalam dialog mengenai ‘Masa Depan Terkait ASEAN: Menyambungkan Tenaga, Perdagangan & Kemakmuran’ di Minggu Kelestarian Abu Dhabi (ADSW) 2025 menunjukkan tekad kerajaan MADANI untuk tidak hanya meningkatkan "kemakmuran untuk rakyat, tetapi untuk sampai ke garisan penamat tanpa menjejaskan persekitaran dan iklim yang boleh didiami".

"Perkembangan ini mencerminkan hasrat Abu Dhabi untuk menjalin hubungan lebih erat dengan ASEAN, seperti yang juga terbukti dalam statusnya sebagai Rakan Dialog Sektoral pertama ASEAN daripada GCC serta penandatanganan CEP UAE-Indonesia, yang berkuat kuasa pada September 2023," katanya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan