SUKAN

THT TUNDUKKAN ARMED FORCES HT 6-1

15/01/2025 08:14 PM

KUALA TERENGGANU, 15 Jan (Bernama) -- Terengganu Hockey Team (THT) meneruskan momentum kemenangan dengan menewaskan Armed Forces HT 6-1 pada saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) di Stadium Hoki Batu Buruk, di sini hari ini.

Kemenangan itu membolehkan The Turtles mengekalkan cengkaman selaku pendahulu liga dengan kutipan 15 mata selepas lima perlawanan.

Penyerang sensasi Faizal Saari mencetak empat gol bagi THT manakala dua lagi jaringan disumbangkan pemain kebangsaan Mohamad Akhimullah Anuar Esook.

THT meledakkan gol pertama seawal minit kedua menerusi gol padang oleh Faizal sebelum Mohamad Akhimullah menambah jaringan pada minit ketujuh.

Pada minit ke-34, Faizal menjaringkan gol kedua peribadi dan gol ketiga THT menerusi gol padang sebelum Mohamad Akhimullah menembusi gawang lawan untuk meletakkan tuan rumah selesa di depan.

Bagaimanapun, pasukan pelawat yang ketinggalan 0-4 enggan mengalah dan bangkit mengatur serangan balas.

Pada suku masa kedua, skuad bimbingan Mohd Yazid Yahya beroleh dua peluang keemasan namun gagal disempurnakan.

Muhamad Nazrey Din akhirnya berjaya mendapatkan jaringan tunggal pada minit ke-38 sekali gus menjadikan kedudukan 1-4.

Kegembiraan pasukan pelawat tidak bertahan lama apabila Faizal membuktikan sentuhan berbisanya dengan menyempurnakan dua lagi gol pada minit ke-46 dan ke-48 untuk THT melakar kemenangan 6-1.

THT yang juga juara Piala Sumbangsih musim ini bakal berdepan kelab dari China, Liaoning Men's HT pada 20 Jan ini.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan