DUNIA

NIAGA HADAPAN MSM TERUSKAN ALIRAN RENDAH SUSULAN PERMINTAAN LEMAH

15/01/2025 10:03 PM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives meneruskan aliran menurunnya hari ini berikutan permintaan lemah dari pasaran destinasi utama iaitu India, China dan Kesatuan Eropah.

Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani memberitahu Bernama selain itu, anggaran penurunan eksport minyak sawit Malaysia lebih daripada 20 peratus pada separuh pertama Januari turut memberi tekanan terhadap harga minyak sawit.

Bagaimanapun, katanya, menurut Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir, eksport minyak sawit Malaysia dijangka meningkat 2.4 peratus kepada 17.3 juta tan pada 2025, menjana pendapatan RM120 bilion, iaitu peningkatan 9.8 peratus dari 2024.

Pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) diunjur meningkat sedikit sebanyak 0.3 peratus kepada 19.5 juta tan, manakala stok minyak sawit dijangka berkurangan sebanyak 6.4 peratus kepada 1.6 juta tan.

Harga MSM diunjur kekal antara paras RM4,000 dan RM4,300 setan pada 2025, didorong oleh bekalan global yang terhad.

Ini sebahagiannya disebabkan oleh mandat biodiesel B40 Indonesia dan peningkatan permintaan AS terhadap biodiesel yang mengurangkan bekalan minyak sawit global boleh dieksport.

Sementara itu, peniaga minyak sawit David Ng berkata, harga MSM ditutup rendah di tengah-tengah kebimbangan terhadap kadar eksport yang lebih lemah, seperti yang diunjurkan oleh penyelidik kargo.

Harga olein sawit Dalian Commodity Exchange yang lebih rendah turut menyumbang kepada penurunan harga.

"Kami melihat paras sokongan pada RM4,280 setan dan paras rintangan pada RM4,400 setan," kata Ng.

RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) menerusi nota penyelidikannya berkata, harga MSM dijangka kekal tinggi pada separuh pertama 2025, didagangkan antara RM4,400 dan RM4,800 setan, sebelum menyederhana pada separuh kedua kepada RM4,000-RM4,400 setan semasa kemuncak bermusim.

Ini berikutan tahap pengeluaran dan stok yang rendah di Indonesia pada 2024, peningkatan mandat biodiesel di Indonesia bagi 2025, dan jangkaan bekalan terhad minyak bunga matahari dan biji sesawi  pada 2025.

Pada penutup dagangan, kontrak Januari 2025 meningkat RM7 kepada RM4,675 setan, Februari 2025 susut RM66 kepada RM4,578 setan dan kontrak Mac 2025 berkurangan RM70 kepada RM4,367 setan.

Kontrak April 2025 susut RM69 kepada RM4,268 setan, Mei 2025 berkurangan RM76 kepada RM4,186 setan dan Jun 2025 turun RM43 kepada RM4,136 setan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 101,035 lot daripada 80,099 lot pada Selasa, manakala kepentingan terbuka menokok kepada 222,977 kontrak daripada 221,897 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Januari Selatan susut RM40 kepada RM4,760 setan.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan