EKONOMI

PROGRAM PEMBANGUNAN VENDOR TEMPATAN MIDA-INFINEON BERI MANFAAT 139 SYARIKAT MALAYSIA

15/01/2025 10:31 PM

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Program pembangunan vendor tempatan yang diuruskan bersama oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Infineon Technologies (Kulim) Sdn Bhd akan memberi manfaat kepada 139 syarikat tempatan.

Program itu, yang telah menarik lebih 190 peserta, merupakan inisiatif baharu yang bertujuan untuk meningkatkan keupayaan syarikat tempatan bagi menyokong industri semikonduktor yang semakin berkembang di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata membangunkan ekosistem semikonduktor yang berdaya tahan dan berdaya saing memerlukan kemajuan teknologi dan pembangunan modal insan.

"Di MIDA, kami menyediakan pembekal tempatan dengan platform berstruktur bagi meningkatkan keupayaan teknologi mereka sambil memastikan tenaga kerja mereka dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan untuk pembuatan semikonduktor generasi akan datang," katanya dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Beliau menambah perkongsian MIDA-Infineon telah memupuk kerjasama bernilai tinggi yang memacu transformasi dan daya saing industri.

Naib Presiden Kanan dan Pengarah Urusan Infineon Ng Kok Tiong berkata komitmen Infineon di Kulim adalah untuk menyokong vendor tempatan dalam memahami keperluan kompleks pembuatan fabrikasi wafer berteknologi tinggi.

“Dengan mewujudkan kumpulan vendor yang boleh menyediakan perkhidmatan bernilai tinggi dan boleh dipercayai, kami secara langsung boleh menyokong pertumbuhan kami di Malaysia.

“Pembangunan vendor yang mampan adalah penting dalam persekitaran perniagaan yang dinamik dan mencabar hari ini,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata program kerjasama awam-swasta MIDA dan Infineon membolehkan syarikat Malaysia memanfaatkan teknologi pembuatan termaju, termasuk kecerdasan buatan (AI) dan penyelesaian kesambungan pintar.

"Ini merupakan inisiatif yang dijangka oleh Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Strategi Semikonduktor Kebangsaan untuk memperkukuh ekosistem perindustrian kita.

“Ketika kami memperkasakan vendor tempatan untuk menyepadukan teknologi termaju dan memacu kecekapan dalam rantaian bekalan syarikat global, Malaysia juga akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk mendapat manfaat daripada revolusi AI sambil menarik pelaburan selanjutnya ke dalam negara,” tambahnya.

Pada Ogos 2024, Infineon merasmikan fasa pertama fabrikasi kuasa silikon karbida (SiC) 200-milimeter yang sangat cekap di Kulim.

Pelaburan ini telah memperkukuh ekosistem semikonduktor tempatan dengan ketara dan mengukuhkan peranan Infineon sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai dalam hab semikonduktor yang semakin berkembang di Malaysia.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan