EKONOMI

MESYUARAT JAWATANKUASA KERJA ASEAN+3 GARISKAN KEUTAMAAN EKONOMI UTAMA ASEAN 2025

15/01/2025 11:39 PM

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Kerja ASEAN+3 bersetuju dengan cadangan Malaysia dalam menetapkan Keutamaan Ekonomi Utama (PEDs) bagi ASEAN 2025, antaranya peningkatan akses kepada pembiayaan peralihan mampan dan adil terhadap iklim, kata Kementerian Kewangan. 

 Kementerian berkenaan dalam satu kenyataan berkata PEDs ASEAN akan turut mempercepatkan pertumbuhan pasaran modal ASEAN yang lebih mampan, terhubung, dan inklusif serta mempromosikan kesinambungan pembayaran segera yang inklusif di ASEAN.

Sementara itu, PEDs bagi ASEAN+3 pula menetapkan keahlian penuh negara ASEAN+3 dalam Southeast Asia Disaster Risk Insurance Facility (SEADRIF); perluasan keahlian ASEAN+3 Finance Think-tank Network (AFTN); meningkatkan kredibiliti Chiang Mai Initiative Multilateralisation (CMIM) melalui transisi daripada ikrar kepada modal berbayar; dan meningkatkan akses CMIM.

Ia berkata mesyuarat ini dipengerusikan bersama oleh Malaysia dan China dan berlangsung pada 14 hingga 15 Januari 2025 di PARKROYAL Langkawi Resort, Kedah.

"Mesyuarat ini dihadiri oleh 135 pegawai dan anggota delegasi daripada Kementerian-kementerian Kewangan dan Bank-bank Pusat negara anggota ASEAN+3 yang terdiri daripada ASEAN, China, Korea Selatan dan Jepun," kata kementerian itu.

Malaysia, selaku pengerusi bersama mesyuarat ini telah diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Datuk Zamzuri Abdul Aziz, manakala China diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Kewangannya, Zhang Minwen.

Selain itu, Bank Negara Malaysia diketuai Pengarah Jabatan Antarabangsa, Ida Harniza Johar, manakala Bank Pusat China diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah, Chen Jing.

Kementerian Kewangan berkata antara perkara utama lain yang dibincangkan dan dipersetujui adalah cadangan Pembiayaan Risiko Bencana (DRFI).

Pembentangan Pelan Hala Tuju DRFI 2026-2028 pula bertujuan menangani kerentanan serantau terhadap bencana alam; dan cadangan menubuhkan platform baharu di peringkat Menteri Kewangan ASEAN+3 yang khusus untuk membincangkan dasar fiskal, katanya.

Selain itu, terdapat cadangan membangunkan mekanisme Policy Adjustment Instrument (PAI) untuk membantu negara ahli meningkatkan kestabilan kedudukan kewangan negara masing-masing.

"Perkara-perkara yang dipersetujui dalam mesyuarat ini akan diperhalusi dan dibincangkan lebih lanjut dalam Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Kerja ASEAN+3 yang dijadualkan pada 5 hingga 6 Mac 2025 di Xiamen, China sebelum dibentangkan untuk persetujuan pada Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN+3 yang dijadualkan pada Mei 2025," kata kementerian itu. 

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan