DUNIA

BURSA MALAYSIA DITUTUP RENDAH SEDIKIT PADA SESI PAGI

16/01/2025 03:05 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah sedikit pada sesi pagi berikutan aktiviti pengambilan untung saham wajaran tinggi terpilih, walaupun dijangka berlaku pemulihan teknikal hari ini.

FBM KLCI dibuka 10.49 mata lebih tinggi pada 1,572.61, susut 0.44 mata kepada 1,561.68 pada tengah hari dan bergerak antara  1,559.33 dan  1,576.57 di sepanjang sesi dagangan pagi.

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 504 berbanding 383, 453 kaunter tidak berubah, 1,035 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 2.27 bilion unit bernilai RM1.51 bilion.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata berkemungkinan terdapat peluang belian keseluruhan dalam sektor tenaga, didorong oleh pengukuhan harga minyak mentah berikutan sekatan Amerika Syarikat (AS) terhadap minyak Rusia dan perolehan pelaburan bernilai US$1 bilion oleh Yinson Holdings Bhd.

"Memandangkan pasaran saham AS yang semakin pulih, dipacu oleh tekanan inflasi yang mereda, serta persekitaran dolar yang meningkat, kami percaya ia boleh mencetuskan aktiviti memburu saham pada harga rendah di pasaran tempatan.

"Dalam sektor teknologi, segmen perkhidmatan pembuatan elektronik mungkin mendapat manfaat daripadanya, di sebalik pengumuman Presiden AS Joe Biden baru-baru ini untuk mengekang eksport cip berkaitan kecerdasan buatan," katanya dalam satu nota hari ini.

Dalam kalangan wajaran tinggi, saham Maybank naik dua sen kepada RM10.16, Public Bank menokok satu sen kepada RM4.10, CIMB naik 16 sen kepada RM8.01, Petronas Dagangan meningkat 68 sen kepada RM19.50, IHH naik satu sen kepada RM7.11,  manakala Tenaga turun 14 sen kepada RM13.36.

Dalam kalangan kaunter cergas, CBH Engineering yang baru disenaraikan naik 4.5 sen kepada 32.5 sen, dan Velocity Capital menokok setengah sen kepada 8.5 sen.

Bagaimanapun, Gamuda susut 23 sen kepada RM4.22, MN Holdings turun sembilan sen kepada 95 sen, dan Swift Energy turun satu sen kepada 36 sen.

Bagi keseluruhan indeks, Indeks FBM Emas naik 0.16 mata kepada 11,951.88, Indeks FBM Emas Shariah susut 34.21 mata kepada 11,794.83 dan Indeks FBMT 100 menokok 3.33 mata kepada 11,645.78.

Indeks FBM 70 menokok 29.61 mata kepada 17,822.17, manakala Indeks FBM ACE susut 19.68 mata kepada 5,131.52.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga naik 6.59 mata kepada 828.38, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 117.71 mata kepada 18,784.63, Indeks Perkhidmatan dan Perindustrian susut 0.35 mata kepada 165.70 dan Indeks Perladangan turun 15.45 mata kepada 7,354.56.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan