AM

REFORMASI INDUSTRI PADI DAN BERAS NEGARA TUMPUAN UTAMA KPKM PADA 2025

16/01/2025 03:59 PM

PUTRAJAYA, 16 Jan (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan memberi tumpuan kepada dua perkara utama tahun ini iaitu mereformasi industri padi dan beras negara, serta meningkatkan produktiviti ruminan, terutamanya pengeluaran daging lembu dan kerbau.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata reformasi industri padi dan beras negara tidak hanya bertujuan memastikan kemandirian bekalan, tetapi juga untuk membawa industri itu ke tahap lebih tinggi dengan mengutamakan pendekatan yang lebih lestari, berdaya saing dan mesra alam.

"Tumpuan utama kita adalah padi dan beras kerana penggunaannya di Malaysia meningkat terutamanya kita tahulah, pekerja-pekerja asing yang datang ke negara ini suka makan nasi sama ada Bangladesh, Nepal, Myanmar, Indonesia dan beberapa negara yang lain.

"Oleh itu, penggunaan beras bertambah dan pengeluaran padi perlu kita tingkatkan kerana kita perlu capai pengeluaran beras negara sehingga 71 peratus berbanding sekarang, 56 peratus dengan kebelakangan ini pula berlaku banjir dan kemarau berturut-turut yang menyebabkan berlaku kekurangan hasil," katanya kepada media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 KPKM, di sini hari ini.

Beliau berkata KPKM telah merangka empat komponen bertujuan meningkatkan daya saing industri, memperkukuh kebajikan pesawah, serta menjamin keterjaminan bekalan beras negara.

Empat komponen itu ialah pengukuhan infrastruktur pengairan di kawasan dalam dan luar jelapang padi negara, pembangunan jelapang padi baharu negara di Sabah dan Sarawak, pembangunan semula sawah-sawah terbiar di seluruh negara dan penstrukturan semula sistem rantaian nilai industri padi dan beras.

Di bawah komponen pengukuhan infrastruktur pengairan, Mohamad berkata kawasan penanaman padi perlu diberikan fokus untuk ditambah baik dari segi infrastruktur dan pengairan.

"Fokus perlu diberikan di dalam perancangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi memastikan ketersediaan pengairan di kawasan-kawasan penanaman padi seluruh negara.

"Saya mohon kepada Ketua Setiausaha (Datuk Seri Isham Ishak) untuk pastikan isu-isu pengairan dapat diselesaikan dengan efisien dan berkesan melalui permohonan peruntukan di bawah RMK-13," katanya.

Di bawah komponen pembangunan jelapang padi baharu di Sabah dan Sarawak, Mohamad berkata perbincangan bersama kerajaan kedua-dua negeri itu perlu digiatkan untuk tujuan berkenaan.

Beliau berkata Jawatankuasa Kerjasama di antara KPKM bersama Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak dan Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah perlu bersidang lebih kerap untuk membincangkan perancangan terbaik bagi pembangunan jelapang padi.

Mengenai pembangunan semula sawah-sawah terbiar di seluruh negara, Mohamad berkata KPKM perlu mengenal pasti kawasan berkenaan seperti di Negeri Sembilan dan Melaka untuk dibangunkan semula dengan perancangan dan suntikan peruntukan yang bersesuaian.

Di bawah komponen penstrukturan semula sistem rantaian nilai industri padi dan beras, Mohamad berkata beliau akan membawa beberapa cadangan antaranya peranan Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) dan penstrukturan harga beras ke Mesyuarat Kabinet dalam tahun ini.

"Saya amat memahami keluhan pesawah kita tentang harga belian lantai padi yang dianggap tidak lagi relevan dengan keadaan semasa. Justeru, saya akan bawa kertas cadangan ke Kabinet bagi memastikan kebajikan pesawah, seluruh pemain industri dan rakyat mendapat manfaatnya," katanya.

Mengenai tumpuan meningkatkan produktiviti ruminan, Mohamad berkata KPKM akan membawa lebih banyak baka dari luar negara dengan daging lembu dan kerbau merupakan komoditi agromakanan utama yang sentiasa dipantau dalam memastikan keterjaminan makanan negara.

"Bagaimanapun, industri ini tidak terlepas daripada pelbagai isu dan cabaran, antaranya ketersediaan kawasan untuk penternakan, penyeludupan ternakan, penyediaan sumber makanan berkualiti, kadar kelahiran yang rendah dan penularan wabak penyakit.

"Bagi mengatasi cabaran ini, sebuah Jawatankuasa Khas Pemerkasaan Industri Ruminan telah ditubuhkan pada 22 Nov lepas, dengan fokus utama jawatankuasa ini adalah memperkasa industri ruminan negara agar berkembang dengan lebih mampan dan kompetitif.

"Usaha ini melibatkan beberapa aspek penting, antaranya meningkatkan populasi ternakan bagi memenuhi keperluan domestik, menangani isu penyeludupan yang boleh menjejaskan keselamatan biosekuriti negara, serta memperkukuhkan program pembiakbakaan bagi menghasilkan lembu pembiak dan pembaka berkualiti tinggi," katanya.

Mohamad berkata bagi memastikan kemajuan yang signifikan terhadap dua tumpuan utama tahun ini, beliau menegaskan sesi libat urus berimpak tinggi dan penyelarasan tindakan perlu segera dilaksanakan tanpa berlengah.

Beliau berkata langkah itu penting bagi mempercepatkan gerak kerja di lapangan serta memastikan setiap inisiatif yang dirancang berjalan dengan lancar dan berkesan.

"Hasil awal yang memberangsangkan perlu ditunjukkan bagi memperkukuh keyakinan semua pihak terhadap usaha yang sedang digerakkan. Saya mahu setiap pihak bertanggungjawab memberi tumpuan penuh agar objektif ini dapat dicapai dalam tempoh yang ditetapkan," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan