SUKAN

TERBUKA INDIA: AARON-WOOI YIK MARA KE SUKU AKHIR

16/01/2025 09:12 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jan  (Bernama) -- Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menepati ramalan apabila berjaya mara ke suku akhir pada Terbuka India 2025 di New Delhi, hari ini. 

Dalam pusingan kedua kejohanan Super 750 yang berlangsung di Kompleks Sukan Indira Gandhi itu, gandingan pilihan kelima tersebut hanya mengambil masa 34 minit untuk menyingkirkan pasangan bukan pilihan dari China, Xie Hao Nan-Zeng Wei Han, 21-10, 21-18.

Bekas juara dunia 2022 itu akan berdepan sama ada pasangan pilihan keempat dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto atau Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh dari Thailand. 

Bercakap selepas perlawanan, Aaron merasakan mereka semakin mendapat semula rentak permainan selepas tewas di pusingan kedua kepada kembar Taiwan, Lee Fang-Chih-Lee Fang-Jen, 14-21, 18-21, pada Terbuka Malaysia 2025 minggu lepas. 

“Kami perlahan-lahan mendapat semula rentak tetapi masih ada ruang untuk ditingkatkan,” katanya dalam rakaman audio yang dikongsi oleh Persekutuan Badminton Dunia kepada media. 

Sementara itu, beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah turut melangkah ke suku akhir selepas gandingan naib juara Terbuka Malaysia 2025, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian dari China menarik diri ketika pasangan Malaysia itu mendahului 14-4 dalam set pertama. 

Beregu campuran nombor satu negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei pula bangkit daripada ketinggalan untuk menafikan harapan juara baharu Terbuka Malaysia 2025, Puavaranukroh dan Supissara Paewsampran dari Thailand merangkul gelaran kedua musim ini, dengan kemenangan 19-21, 21-12, 22-20.

Menunggu Tang Jie-Ee Wei di suku akhir satu lagi gandingan Thailand, Ruttanapak Oupthong-Jenicha Sudjaipraparat selepas mereka mengejutkan pilihan keenam dari China, Xing Cheng-Chi Zhang, 21-17, 20-22, 21-17.

Dalam pada itu, pasangan suami isteri Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie mengambil masa 59 minit untuk menundukkan Yuta Watanabe-Maya Taguchi dari Jepun, 21-10, 19-21, 21-16.

Pilihan keempat itu akan menentang pilihan kelima Yang Po-Hsuan-Hu Ling Fang selepas gandingan dari Taiwan tersebut menewaskan pasangan tuan tuan rumah, Ashith Surya-Amrutha Pramuthesh, 21-8, 21-11.

Bagaimanapun, perjalanan satu-satunya wakil perseorangan negara, Leong Jun Hao di Terbuka India 2025 terhenti apabila tewas kepada pemain China, Weng Hong Yang, 18-21, 12-21, dalam masa 44 minit.

Jun Hao mengakui sukar untuk mengekang penguasaan Hong Yang di kawasan hadapan gelanggang yang memberi kesan kepada permainannya. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan