EKONOMI

PERTUMBUHAN EKONOMI MALAYSIA TAWAR POTENSI BESAR KEPADA PELABUR - PM ANWAR

16/01/2025 09:42 PM

Daripada D.Arul Rajoo

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Tinjauan ekonomi Malaysia pada 2024 dan seterusnya semakin positif apabila negara menjadi lambang pertumbuhan dan daya tahan di Asia Tenggara, diperkukuhkan lagi dengan Kepengerusian ASEAN pada 2025.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh, dasar yang stabil dan pelaburan langsung asing (FDI) yang meningkat telah menjana semula minat global terhadap pasaran modal Malaysia dan menjadikan negara sebagai antara destinasi pelaburan utama di rantau ini.

Unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia telah disemak semula dan dijangka melebihi 5.0 peratus pada 2024, dengan pertumbuhan terus kukuh antara 4.5 peratus dan 5.5 peratus dijangka pada 2025.

Pada 2024, ekuiti Malaysia juga mencatatkan pemulihan selepas prestasi merosot selama beberapa tahun, disokong oleh beberapa peningkatan penarafan daripada firma penyelidikan global terkemuka.

Malaysia juga menjadi peneraju dalam aktiviti tawaran awam permulaan (IPO) di ASEAN, mengakhiri 2024 sebagai antara indeks petunjuk pasaran yang mencatatkan prestasi terbaik di Asia Tenggara.

Dalam ucapannya kepada sekumpulan pelabur terkemuka di London, United Kingdom, Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan telah memberi tumpuan sejak dua tahun lepas untuk menambah baik tadbir urus, meningkatkan ketelusan dan memperhebat usaha memerangi rasuah.

Pada masa yang sama, pembaharuan fiskal yang komprehensif telah dilaksanakan, dengan tumpuan kepada mengurangkan defisit fiskal secara berperingkat selain memastikan kestabilan jangka panjang.

“Pentadbiran saya telah memberi tumpuan sejak dua tahun lepas untuk mengukuhkan tadbir urus dengan meningkatkan ketelusan dan memperhebat usaha memerangi rasuah,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga telah melaksanakan pembaharuan fiskal yang komprehensif, dengan komitmen yang kukuh untuk mengurangkan defisit fiskal secara berperingkat dan mampan selain memperkukuh tanggungjawab fiskal untuk memastikan daya tahan dan kestabilan ekonomi jangka panjang.

Ini, seterusnya, disokong oleh pelan hala tuju dasar Malaysia yang berpandangan ke hadapan, termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), kata Anwar.

Beliau berkata dasar ini memperkukuh peranan Malaysia dalam rantaian nilai semikonduktor global dan membantu negara menyokong permintaan yang melonjak untuk kecerdasan buatan (AI), data dan kuasa pengkomputeran di Asia.

Oleh itu, Anwar berkata Malaysia komited untuk membina asas kukuh ini pada tahun depan dan menyasarkan untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi yang memacu kerumitan ekonomi, mempercepat kemajuan ke arah matlamat sifar bersih, melindungi keselamatan ekonomi dan memacu penggunaan teknologi.

Beliau berkata semua ini menawarkan potensi yang besar kepada pelabur.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan